Warga emas kantoi layan dadah, beri alasan kononnya nak pergi beli roti canai untuk elak ditahan

FOTO Izad Thaqif Hassan


Demi melepaskan diri daripada ditahan, seorang lelaki warga emas sanggup memberi alasan kononnya dia datang ladang untuk membeli roti canai, bagi mengaburi pihak berkuasa yang melakukan serbuan di Ladang Kelapa Sawit Kampung Batu Lima, kelmarin. 


Warga emas terbabit terdahulu dilihat sedang menunggang motosikal menuju ke lokasi yang menjadi 'port' penagih dadah untuk mendapatkan dadah bagi melepaskan gian. 


Dia bagaimanapun telah ditahan oleh sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang sudah mengepung kawasan itu bermula jam 8 pagi untuk melaksanakan Op Tapis Khas. 


Ketika disoal siasat, warga emas itu memberi alasan dia kononnya dalam perjalanan untuk membeli roti canai. Namun alasannya itu tidak masuk akal kerana lokasi ladang terletak jauh dari jalan utama dan kedai. 


Cubaannya untuk mengkelentong anggota polis gagal menyebabkan dia ditahan serta-merta untuk tindakan lanjut. 


Penahanan lelaki itu diketahui oleh ahli keluarga yang kemudian datang bertemu dengannya. Isteri dan anak perempuannya sempat berpelukan, menangis sambil bermaafan sebelum dibawa ke lokap IPD menaiki trak polis. Dia juga turut berpesan kepada mereka agar jangan bersedih. 


Selain warga emas berkenaan, ada juga penagih lain yang memberi alasan mahu mencari isteri, rakan, termasuk mendakwa mereka kononnya tersesat jalan. Malah, ada seorang penagih yang ditahan memberitahu dia sengaja datang ke lokasi itu untuk memantau serta menasihati rakannya untuk menjauhi dan tidak menghisap dadah. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2023/01/warga-emas-kantoi-layan-dadah-beri.html
Previous
Next Post »