Budak 4 tahun penuh kesan kecederaan di seluruh badan, ditemui dibuang di tepi jalan

Foto TikTok D_BarohGarageMotorsports


Seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia tiga hingga empat tahun ditemui dengan kesan kecederaan di bahagian badan, tangan, jari dan dahi di tepi jalan di Cheras Utama, semalam. 


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kanak-kanak itu ditemui oleh orang awam pada jam 11.30 malam, berhampiran sebuah apartmen. 


Bertindak di atas maklumat, sepasukan anggota polis ronda cegah jenayah (RCJ) segera dikerahkan ke lokasi dan pemeriksaan awal mendapati, terdapat kesan kecederaan di badannya. 


Tiada sebarang butiran atau dokumen pengenalan diri yang ditemui, namun polis percaya kanak-kanak terbabit adalah warga asing berikutan tiada sebarang tanda suntikan vaksin di bahu, selain tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa tempatan. 


Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kanak-Kanak untuk mendapatkan rawatan. Pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan mengesahkan mangsa berada dalam keadaan sihat dan stabil. 


Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil menghubungi mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera dan mengabai kanak-kanak. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2023/01/budak-4-tahun-penuh-kesan-kecederaan-di.html
Previous
Next Post »