Batal projek HSR, Muhyiddin & Mahathir diheret ke mahkamah, tuntut pampasan RM1 juta untuk setiap rakyat Malaysia



Warganegara Malaysia, Mohd Hatta Sanuri telah memfailkan writ saman terhadap bekas perdana menteri Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura. 


Tindakan itu katanya bagi memulihkan projek itu dan menuntut mereka membayar pampasan RM1 juta kepada setiap warganegara Malaysia. 


Selain Mahathir dan Muhyiddin, turut diheret ke mahkamah adalah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapha Mohamed (Ekonomi), Wee Ka Siong (Pengangkutan) dan kerajaan sebagai defendan ketiga, keempat dan kelima, menurut salinan kertas kausa yang difailkan oleh plaintif di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Disember 2022. 


Hatta mendakwa Mahathir cuai dan melakukan kesalahan penyelewengan dalam jawatan awam apabila perdana menteri ketika itu membuat keputusan untuk menangguh projek HSR pada 5 September 2018, yang menyebabkan Malaysia terpaksa membayar pampasan RM46 juta kepada Singapura pada 31 Januari 2019. 


Muhyiddin juga didakwa melakukan kecuaian dan penyelewengan dalam jawatan awam, sebagai perdana menteri pada ketika itu dengan menamatkan projek HSR pada 31 Disember 2020. Akibatnya, Malaysia terpaksa membayar pampasan lebih RM320 juta kepada Singapura pada 2021 bagi membatalkan perjanjian dua hala antara kedua-dua negara. 


Mustapha dan Wee Ka Siong turut didakwa cuai dan melakukan penyelewengan dalam jawatan awam berhubung penangguhan dan pengurusan projek itu. 


Kesan dari penamatan projek HSR, semua rakyat Malaysia mengalami kerugian antaranya, hilang keyakinan pelabur asing terhadap negara, hilang 70,000 pekerjaan berpotensi bergaji tinggi daripada projek iut, hilang peluang untuk peroleh keuntungan RM70 bilion daripada pembinaan, operasi HSR serta lebih RM366 juta kerugian disebabkan Malaysia terpaksa membayar pampasan kepada Singapura. 


Berdasarkan fakta-fakta di atas, defendan katanya perlu membayar ganti rugi teruk dan teladan kepada setiap rakyat Malaysia, termasuk dirinya sendiri untuk tidak yang tidak mengikut perlembagaan, kejam dan untuk menafaat tidak jujur mereka sendiri yang membelakangkan kepentingan rakyat Malaysia. 


Hatta memohon pengisytiharan untuk memaksa defendan membayar RM1 juta sebagai ganti rugi dan pampasan kepada setiap warganegara Malaysia. 


Hatta diwakili peguam dari firma guaman Mohaji, Hazury & Ismail. 


Sumber: MalaysiaKini



source https://www.thereporter.my/2023/01/batal-projek-hsr-muhyiddin-mahathir.html
Previous
Next Post »