Rohingya akan menjadi beban kekal di Malaysia selagi ada yang mengalu-alukan kedatangan mereka



Pertubuhana Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan etnik Rohingya sebagai bangsa minoriti yang paling malang di dunia kerana dianiaya rakyat dan kerajaan Myanmar menyebabkan mereka cuba melarikan diri ke negara lain dengan merentas laut, namun ramai yang maut ketika dalam perjalanan. 


Menurut Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), lebih dari 3,500 etnik tersebut cuba melarikan diri dengan cara berbahaya itu pada tahun lalu. Bagaimanapun hanya 3,040 pelarian yang berjaya tiba di pesisiran pantai negara jiran, manakala bakinya maut atau hilang di laut. 


Malaysia juga menjadi negara pilihan untuk etnik Rohingya 'memulakan hidup baru'. Ditambah pula ada segelintir pihak yang mengalu-alukan kedatangan mereka tanpa memikirkan tindakan itu akan memudaratkan dan membebankan negara di masa depan. 


Peguam, Norman Fernandez berpandangan, sekiranya perkara itu tidak dibendung dari awal, tidak mustahil etnik Rohingya akan menuntut hak mereka untuk diiktiraf sebagai bangsa Melayu dan mendapat pendidikan di universiti awam tempatan. 


"Selagi ada orang Melayu sanggup menggubal lagu 'Selamat Malam Rohingya' dan menganggap Rohingya sebagai saudara yang malang dan bersedia ke depan mengalu-alukan kedatangan ke Malaysia, memberi segala jenis bantuan, selagi itulah mereka akan datang dan kekal berada di Malaysia. 


"Tidak mustahil dalam tiga ke empat generasi (akan datang), Rohingya di Malaysia yang beragama Islam boleh cakap bahasa Malaysia dan sudah mengamalkan budaya Melayu, akan menuntut untuk diiktiraf sebagai Melayu. Mereka akan menuntut hak belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya.


Selain itu, ada yang berpandangan Malaysia menjadi pilihan etnik Rohingya kerana penguatkuasaan undang-undang di negara ini lemah dan mudah dibolosi. 


"Kenapa Malaysia menjadi destinasi pilihan Rohingya? Sebab Malaysia negara Islam, undang-undang lemah, masyarkat tempatan punyai perasaan belas kasihan yang tinggi, penguatkuasa mudah disogok, banyak peluang pekerjaan, bahasa Melayu mudah dipelajari," kata Zizie Adriana. 


Sumber: Sinar Harian



source https://www.thereporter.my/2023/01/rohingya-akan-menjadi-beban-kekal-di.html
Previous
Next Post »