Wanita warga emas maut selepas disamun awal pagi tadi

Foto: Redzuan News MPB


Seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Pulai Darat, di sini awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, polis menemukan mangsa Misah Md Amin, 91, yang tinggal seorang diri dalam keadaan terbaring di bahagian dapur.


Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin Asisten Komisioner Mohd Fadzli Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada jiran mangsa kira-kira 3.54 pagi.


"Warga emas berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Jasin bagi proses bedah siasat.


"Punca kematian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, bertindak atas maklumat awam, polis berjaya menahan suspek warga tempatan berusia 20 tahun di kawasan berhampiran kira-kira enam jam kemudian.


Katanya, suspek yang juga seorang penganggur mempunyai tiga rekod lampau berhubung kes rompak serta samun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



source https://www.thereporter.my/2023/01/wanita-warga-emas-maut-selepas-disamun.html
Previous
Next Post »