MB Terengganu gesa Putrajaya libatkan kerajaan negeri dalam pengagihan bantuan mangsa banjir RM50 juta

Foto Media MB Terengganu


Keputusan kerajaan pusat untuk menyerahkan sepenuhnya tugas serta kaedah pengagihan bantuan banjir kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) tanpa melibatkan agensi di bawah kerajaan negeri akan mewujudkan kelemahan, sekali gus menjejaskan mangsa banjir, kata Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar. 


"Kita faham bahawa untuk menguruskan mangsa banjir, ada perkara yang memerlukan kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat. Dengan cara ini, barulah keharmonian boleh wujud dan bantuan kepada mangsa juga tidak bertindih. 


"Menyerahkan (kaedah bantuan) sepenuhnya kepada agensi kerajaan pusat dengan kami di peringkat negeri belum sepenuhnya, pasti apa yang perlu diselaraskan tentulah wujud kelemahan-kelemahan di situ. Ia juga bertentangan dengan amalan sebelum ini," katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan pelumba dan penaja Terenggany Polygon Cycling Team (TSG) 2023 di sini malam tadi. 


Dalam lawatan ke Kelantan pada 21 Disember lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera sebanyak RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu yang terjejas teruk akibat bencana banjir. 


Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sedang dalam proses pemutihan senarai mangsa banjir untuk agihan bantuan yang dijangka dalam masa terdekat. 


"Kita sedang mengesahkan senarai nama untuk pemberian bantuan. Insya-Allah kita akan cuba selesaikan secepat mungkin untuk bantu rakyat," katanya. 


Kerajaan Terengganu sebelum ini mengumumkan bantuan tunai sebanyak RM1,000 kepada kira-kira 10,000 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir teruk luar jangkaan pada 18 Disember lepas. 


Sumber: Bernama



source https://www.thereporter.my/2023/01/mb-terengganu-gesa-putrajaya-libatkan.html
Previous
Next Post »