Berita baik! 12,500 restoran mamak di seluruh negara sediakan menu Rahmah RM5 untuk bantu golongan miskin tegar



Lebih 12,500 restoran mamak di seluruh negara bersedia menyahut gesaan kerajaan untuk menyediakan menu Rahmah bernilai RM5 ke bawah bagi membantu golongan miskin tegar. 


Difahamkan sekitar 4,000 restoran di bawah Koperasi Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) turut terlibat.


Hidangan ayam atau ikan bersama nasi dan sayur di restoran mamak pada harga RM5 ke bawah mungkin dilihat mustahil. Namun, lebih 4,000 ahli persatuan pengusaha restoran muslim Malaysia (PRESMA) bersedia menyahut cabaran memperkenalkan menu Rahmah walaupun berdepan dengan tekanan kos ketika ini. 


"Dari segi kos, kalau nak jual air dengan nasi ini RM5, sejujurnya memang tak ada untung pun. Tapi adakah semua kita nak jual menu Rahmah? Tak, ada benda-benda lain yang akan mendatangkan keuntungan. Yang ini (menu Rahmah) apa salahnya?" kata Datuk Jawahar Ali Taib Khan, Presiden PRESMA. 


Jelasnya, inisiatif ini boleh digerakan oleh pihak peniaga tanpa memerlukan subsidi kerajaan. Bukan sahaja pengusaha, malah pihak pembekal dan pemborong bahan mentah juga wajar mengambil bahagian. 


"Mengapa tidak pemain-pemain industri, pemborong yang besar ini juga memainkan peranan untuk membekalkan kepada ahli-ahli Presma, Prisma atau sesiapa sahaja yang setuju dengan program Rahmah ini, membekalkan harga barangan dengan harga kos rendah," ujarnya. 


Bagi pengurus operasi sebuah restoran mamak, Ansar Ali berkata, pihaknya juga menyambut baik cadangan itu dan akan cuba menyerap kos bagi membantu golongan miskin tegar. 


"Kami akan cuba menyerap kos bagi memberikan yang terbaik kepada pelanggan yang memerlukan. Mungkin dalam 20 ke 30 peratus kita akan buat penurunan harga makanan," katanya. 


Walaupun menu Rahmah ini disasarkan kepada golongan kurang berkemampuan, pelanggan lain juga boleh menikmatinya untuk berjimat. 


"Sekarang ini kita nak bayar rumah, kereta, semua nak bayar. Sekarang (menu Rahmah) RM5, okay dan bagus. Semua orang terima. Terima kasih kerajaan," kata Malingan Muthaiyah (orang awam). 


Rata-rata pengusaha dan pelanggan turut mencadangkan agar restoran yang terlibat meletakkan papan tanda atau kain rentang bagi memudahkan pelanggan mengenal pasti kedai makan yang menawarkan menu Rahmah. 


Sumber: Buletin TV3



source https://www.thereporter.my/2023/01/berita-baik-12500-restoran-mamak-di.html
Previous
Next Post »