Wang Bantuan Awal Persekolahan RM109,350 yang baru dikeluarkan oleh pengetua, lesap dilarikan penjenayah

Foto sekadar hiasan


Seorang pengetua di sebuah sekolah rendah di Beranang Selangor, mendakwa wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,350 yang dikeluarkannya dari bank telah dilarikan penjenayah dalam kejadian pagi tadi. 


Difahamkan, wang bantuan itu sepatutnya diagihkan kepada para pelajar sekolah pada esok dan pengetua sekolah berusia 50 tahun berkenaan telah pergi ke sebuah bank di Pekan Semenyih pada jam 10.10 pagi untuk mengeluarkan wang tersebut.


Selepas mengeluarkan wang berkenaan kira-kira jam 11 pagi, mangsa terus pergi ke arah kenderaannya, Toyota Innova, yang terletak kira-kira 30 meter dari bank. 


Dia kemudian menyimpan wang tersebut di bawah kerusi penumpang hadapan, sebelum pergi ke kedai mamak (RK Fatimah) bersebelahan bank untuk membeli minuman kerana dahaga.


15 minit kemudian, mangsa kembali semula ke kenderaannya dan terkejut apabila mendapati cermin penumpang depan telah pecah dan wang RM109,350 juga telah hilang. 


Mangsa segera membuat laporan polis dan Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan mengesahkan kejadian itu serta pihaknya kini sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Buletin TV3



source https://www.thereporter.my/2023/01/wang-bantuan-awal-persekolahan-rm109350.html
Previous
Next Post »