Wanita pakai seluar seksi tak dibenarkan masuk ke IPD, provok polis & tularkan di media sosial



Seorang wanita yang memakai seluar seksi tidak dibenarkan masuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, menyebabkan wanita itu tidak berpuas hati dan melakukan provokasi terhadap anggota polis. 


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian itu berlaku pada jam 10.30 pagi semalam dan wanita itu datang untuk membuat laporan polis berhubung kes kemalangan jalan raya. 


Difahamkan, anggota sentri yang bertugas terdahulu meminta wanita berkenaan meletakkan kenderaannya di belakang IPD Kajang, ekoran tempat letak kereta yang disediakan sudah penuh. 


Dalam masa sama, anggota sentri mendapati wanita itu memakai seluar pendek paras paha (atas paras lutut, lalu menasihatnya untuk memakai pakaian yang bersesuaian sebelum berurusan di premis kerajaan. 


Malangnya, wanita itu enggan mengikut arahan dan mula melakukan provokasi terhadap anggota terbabit yang kemudian sekali lagi menasihatkannya untuk menukar seluar yang lebih sesuai jika mahu berurusan di balai. 


Wanita itu beredar dan datang semula ke IPD Kajang selepas 20 minit kemudian bersama dengan dua rakannya, dengan memakai seluar panjang. 


Bagaimanapun, dia memuat naik hantaran berserta gambar dirinya memakai seluar panjang di media sosial mengenai perkara itu dan dilaporkan oleh sebuah portal berita. 


"Untuk makluman, IPD Kajang berurusan dengan anggaran 300 orang sehari dan setakat ini tiada apa-apa isu yang timbul mengenai pakaian. 


"Malah gambar etika pakaian ketika berurusan dengan premis kerajaan juga dilekatkan pada Pos Kawalan sebagai rujukan," katanya. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2023/01/wanita-pakai-seluar-seksi-tak.html
Previous
Next Post »