'Kalau aku jumpa, memang kena tikam sampai mampus!' - Anggota Imigresen ugut bunuh bekas kekasih kerana hutang RM60K, didakwa



Seorang anggota wanita Jabatan Imigresen (JIM) hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Melaka atas pertuduhan mengugut mahu menikam bekas kekasihnya dengan pedang samurai sampai mati gara-gara hutang RM60,000, tahun lalu. 


Bagaimanapun tertuduh, Anis Anuar, 32, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman. 


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menakutkan Mohamad Faizul Mohd Fadli, 32, dengan kata-kata:


"Kalau aku jumpa, memang kena tikam sampai mampus. Suruh bayar semua duit aku dulu, kalau tak, aku bunuh dia. Bagitahu Faizul P** itu, kalau dia berani datang cari aku nak balas dendam lepas ni, aku standby dengan (pedang) samurai." 


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 September lalu di pos pengawal Gate A, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka Tengah. 


Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. 


Lapor Kosmo Online, ibu tunggal anak satu itu bertindak sedemikian kerana berang dengan bekas kekasihnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berhutang dengannya sebanyak RM60,000. 


Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM3,000 dengan penjamin dari kalangan ahli keluarga terdekat, selain perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan tidak mendekati pengadu. 


Peguam mewakili tertuduh, Umar Zulkarnain merayu agar jaminan dikurangkan kerana anak guamnya hanya anggota berpangkat rendah di JIM dan sedang menjalani rawatan psikiatri. 


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan bersetuju mengenakan semua syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan. Mahkamah turut menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. 


Sumber: Kosmo Online



source https://www.thereporter.my/2023/01/kalau-aku-jumpa-memang-kena-tikam.html
Previous
Next Post »