'Bermalam sebab penat repair aircond' - Penjawat awam dicekup khalwat dengan janda di rumah sewa

Foto Hiasan


Seorang lelaki ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kerana berkhalwat dengan seorang janda di Tanjung Minyak, pada malam Sabtu lalu. 


Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pihaknya terdahulu menerima maklumat awam lalu membuat Serbuan Operasi Perahu Darat (Opeda 2) pada jam 11.45 malam di rumah sewa tersebut.


Pada awalnya, penguat kuasa JAIM mendapati pintu rumah bertutup rapat dan berkunci sebelum dibuka oleh lelaki itu. Pemeriksaan lanjut menemui wanita itu bersama dengan anaknya berusia 10 tahun dalam bilik.


Semasa disoal siasat, penjawat awam yang bertugas di Negeri Sembilan yang telah berkahwin itu mengakui mereka berkenalan melalui aplikasi sosial Omi.


Mereka mengaku bukan suami isteri dan bukan mahram. Lelaki berkenaan memberikan alasan bahawa dia hanya sekadar bermalam di rumah janda itu kerana kepenatan dan mahu berehat selepas selesai membaiki penghawa dingin di rumah sewa itu. 


"Pasangan itu mengaku bukan suami isteri dan bukan mahram, dan lokasi merupakan rumah sewa wanita berkenaan yang juga merupakan penjawat awam," katanya. 


Ekoran itu, pasangan berusia 30-an itu ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Tanjung Minyak, sebelum dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman. 


Sumber: Sinar Harian



source https://www.thereporter.my/2023/01/bermalam-sebab-penat-repair-aircond.html
Previous
Next Post »