Ibu muda akui tertekan, tekup & cekik bayi sendiri sehingga mati



Seorang bayi lelaki berusia setahun enam bulan ditekup dan dicekik sehingga mati oleh ibunya berusia 20 tahun.


Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta itu telah ditahan bersama teman lelakinya di kondominium di Cyberjaya pada 12 Januari lalu. 


Siasatan awal mendapati, suspek yang sedang dalam proses perceraian selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya (penganggur), mendakwa mangsa terjatuh dari sofa sebelum dibawa ke Hospital Cyberjaya pada jam 11.30 pagi untuk mendapatkan rawatan. 


Doktor yang menerima kes itu mendapati, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal, selain mengesan berlaku pendarahan di kedua-dua belah anak mata yang dipercayai kesan dari penderaan. 


Mangsa bagaimanapun dilaporkan telah meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan dan kematian mangsa dilaporkan kepada pihak polis.


Bertindak di atas laporan, polis cuba menghubungi ibu mangsa untuk membantu siasatan, tetapi wanita itu gagal dihubungi. Cubaan polis untuk mencarinya di alamat kediaman yang diberi juga tidak berjaya. 


Jam 12.15 pagi, 16 Januari 2023, polis yang mendapat maklumat hasil dari risikan telah menyerbu sebuah flat di Putra Perdana, Dengkil dan menahan suspek. Suami suspek turut ditahan pada hari yang sama. 


Suspek mengaku telah menekup muka mangsa menggunakan bantal semasa anaknya sedang tidur kerana dia mengalami tekanan perasaan berpunca dari masalah rumah tangga serta keluarga. 


Bedah siasat yang dlakukan ke atas mayat mangsa mendapati, terdapat kesan kecederaan di bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan, serta kesan calar di pipi kiri dan leher disyaki akibat dicekik. 


"Punca kematian disebabkan asfiksia ataupun kekurangan oksigen dipercayai berpunca dari tindakan ibu mangsa menekup muka anaknya," katanya. 


Suami suspek yang berusia 20 tahun dibebaskan kerana dipercayai tidak terlibat dalam kes itu berikutan tiada di lokasi semasa kejadian itu berlaku. 


Teman lelaki suspek yang juga pelajar kolej berusia 21 tahun turut menafikan dirinya terlibat. 


Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2023/01/ibu-muda-akui-tertekan-tekup-cekik-bayi.html
Previous
Next Post »