(Video) 'Sampai bila rakyat nak hadap masalah sampah ni? Mana majlis perbandaran?' - PBT dipersalahkan kerana biar longgokan sampah di tepi jalan tetapi...



"Apa dah jadi? Batu 14, Hulu Langat dah jadi pusat pameran sampah," demikian kata pengadu yang turut memuat naik video menunjukkan sampah sarap yang bertimbun hampir 200 meter di tepi jalan. 


Menurut pengadu, masalah pembuangan sampah di kawasan itu sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu. Tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT) dikatakan tidak menangani masalah tersebut menyebabkan aktiviti pembuangan sampah di kawasan itu berlarutan untuk sekian lamanya. 


"Balik-balik isu sampah. Pengurusan sampah paling sampah di negeri ter'maju di Malaysia. Sampai bila rakyat nak hadap semua ini. Sampah, sampah, kenapalah kau sampah.



"Korang tengok dekat sini, berlambak sampah-sampah banyak kat tepi jalan utama di Hulu Langat. Yang mana di sini adalah kawasan tidak boleh membuang sampah. 


"Kau tengok ni, di situ ada signboard yang mengatakan dilarang membuang sampah. Mana majlis perbandaran? Mana tindakan PBT? Korang tengok berapa banyak kereta lalu lalang di kawasan ini. 


"Ini negeri mana ni? Ini negeri maju apakah ini? Jadi kita minta PBT yang berkaitan, datang ke sini tengok masalah rakyat," katanya. 


Bagaimanapun, tindakan pengadu menyalah PBT tidak menangani masalah itu mengundang reaksi sebaliknya dari netizen. Majoriti netizen bersetuju bahawa, masalah sebenar yang perlu ditangani adalah mentaliti penduduk di kawasan itu perlu dididik dan diubah agar tidak membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya. 


"Yang membuang sampahnya adalah penduduk, yang dipersalahkan dan dimaki pula adalah PBT. Cantik betul perangai," kata netizen. 


"Ini mentaliti individu yang buang sampah lah yang teruk. Dalam sibuk menunding jari mencari kesalahan PBT, segelintir yang tak bertamadunlah yang menonjolkan perangai bodohnya," kata Ridzwan. 


"Apaa dah jadi? Yang buang sampah itu siapa? Balik-balik isu sampah? Dah orang di sekitarnya pun buang sampah merata-rata, dah ada signboard dilarang membuang sampah, tak reti ke nak membaca?" kata Zarina. 


Isu tersebut turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Langat, Edry Faizal, yang tampil menjelaskan bahawa ada tindakan telah diambil tetapi penduduknya masih mengulangi perangai yang sama. 



"Sebelum nak kata saya tidur, fahamkan isunya dahulu. Tak jauh dari siitu ada tong yang sudah disediakan untuk penduduk kampung. Tahu tak kenapa pembuang sampah haram tak buang di situ? Sebab yang buang kebanyakannya bukan orang situ. 


"Masalah ini tidak pernah dibiarkan berterusan. Sebelum ini sudah beberapa kali dibersihkan, malah operasi memburu pembuang pun pernah. Terkini disediakan tapak khas untuk penduduk kampung. Seterusnya usaha nak ubahsuai lanskap," katanya. 



source https://www.thereporter.my/2023/02/video-sampai-bila-rakyat-nak-hadap.html
Previous
Next Post »