Terengganu haramkan filem Pulau, penerbit rayu netizen henti kecaman & tonton filem itu terlebih dahulu



Kerajaan negeri Terengganu mengambil keputusan untuk mengharamkan penayangan filem Pulau di negerinya atas alasan filem berkenaan mengandungi adegan-adegan yang keterlaluan. 


Penerbit filem tersebut, Fred Chong, meluahkan rasa kesalnya dengan keputusan kerajaan negeri Terengganu sedangkan belum ada sesiapa lagi yang menonton filem itu.


 "Semalam FINAS memaklumkan kerajaan negeri Terengganu mengharamkan penayangan filem Pulau di sana. Saya tak tahu selpas ini negeri mana pula yang akan mengikut langkah mereka. 


"Saya rasa ini adalah langkah yang berbahaya kerana bermula dari tiga pawagam (TGV Terengganu), mungkin boleh menjadi 30 atau 60 pawagam selepas ini. Bagi saya ini tidak sepatutnya berlaku," katanya. 


Difahamkan TGV telah menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman pada 9 Februari lalu yang melarang filem Pulau ditayangkan di tiga pawagam milik TGV. 


"Saya sudah menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri Terengganu dan mencadangkan kepada mereka untuk saya ke sana bersama wakil dari TGV, serta FINAS dan menayangkan filem itu kepada mereka. 


"Dari situ mereka sendiri boleh menilai sama ada filem itu sesuai ditayangkan atau tidak kerana filem ini sudah mengikut posedur penapisan yang sepatutnya," katanya. 


Tambah Fred, sekiranya perkara itu tidak diselesaikan, pihaknya akan mengalami kerugian besar dan pihak penaja juga akan menarik tajaan mereka. Kos pembikinan filem itu sahaja menelan belanja hampir RM4 juta. 


Fred merayu agar netizen yang melemparkan kecaman pada filem itu berhenti berbuat demikian dan menonton filem Pulau terlebih dahulu sebelum menilai. 


Sebelum ini, filem Pulau dikecam hebat di media sosial kerana video trailernya mengandungi banyak adegan yang dilihat tidak bersesuaian dengan budaya di negara ini. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2023/02/terengganu-haramkan-filem-pulau.html
Previous
Next Post »