'Tuan Haji mengata parti sendiri ke tu?' - Difitnah jual agama, Baby Shima mahu saman pemimpin PAS Pahang



Baru-baru seorang penyanyi terkenal, Baby Shima telah diundang untuk membuat persembahan di Sungai Isap, Kuantan bersempena program Hari Bandaraya Mesra Komuniti dan hari yang sama sambutan Israk dan Mikraj. 


Persembahan itu bagaimanapun telah mengundang persepsi negatif daripada beberapa pimpinan parti politik. Beberapa hari sebelum program berlangsung, dikatakan ada beberapa bantahan yang dibuat untuk menghalang Baby Shima membuat persembahan kerana dikhuatiri akan merosakkan majlis dan hari yang mulia. 


Ahli Parlimen Kuantan (PAS), Wan Razali Wan Nor, mendakwa pihaknya menghantar surat bantahan rasmi kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) agar menghentikan pembabitan Baby Shima. Pemuda PAS Kok Lanas dan Kuantan, Abdul Rahman pula mendakwa penyanyi itu seolah menjual agama kerana hanya mengenakan tudung mengikut majlis tertentu.



Bengang dengan tindakan beberapa komen yang mengkritiknya, Baby Shima tampil membuat kenyataan balas.


“Tuan Haji mengata parti sendiri ke tu? Rajin Tuan Haji datang pages Shima ni. Nak cuci mata ke? Video gelek banyak kat sini tapi hari ni tak ada lagi.


“Kat Malaysia ni rasanya ramai yang tau siapa yang jual agama dan tunggang agama. Hebat fitnah tuan haji, tau je shima jual agama ya. Pelik juga menghormati majlis pun dibilang  jual agama? Tak pernah pula tau tunggang agama untuk dangdut, mesti tuan haji kaki dangdut. Semalam rasanya takde nyanyi dangdut, mesti rindu nak tengok Shima gelek kelmarin ya. Carilah issue politik lain, nampak sangat pergunakan Shima untuk glamer ya.


“Kalau dah majlis macam ni pun dibilang jual agama, baik buat majlis gelek. Nak hormat majlis agama pun jadi masalah,” katanya. 


Baby Shima juga mengatakan ini bukan satu-satunya majlis yang dia hadiri dengan berpakaian menutup aurat. 


“Wan Razali Wan Nor, hebat MP ada orang macam ni. Kelmarin bukan MP yang bising? Pakai sopan hormat majlis kata jual agama? MP nak apa? Lain kali datang event MP. Jangan main fitnah saja. Now hantar wakil pula. Tak faham dengan parti PAS MP ni semua tak kena. 


“Oh ya maksud Tuan Haji Abdul Rahman tu kalau tak tutup aurat semua tu jual agama juga ke? Ramai juga kat East Cost Mall dan Teluk Cempedak, apatah lagi anak dan isteri pembesar negara. Adakah itu pun jual agama? Kalau tahu pakai sopan pun salah, kelmarin baik bergelek saja, baru tak jual agama,” tulisnya.



Memetik laporan dari MalaysiaKini, Baby Shima tidak menolak kemungkinan akan menggunakan khidmat perundangan.


“Peguam saya sedang meneliti isu tersebut untuk tindakan lanjut kerana hantaran dibuat di media sosial itu sudah dikira memfitnah saya.


“Posting berkenaan turut mengakibatkan saya dikecam teruk sebelum acara itu berlangsung. Ketika itu mereka anggap saya bakal hadir untuk bergelek dengan lagu dangdut.


“Tapi mereka mungkin terkejut akhirnya saya datang dengan imej sopan malah bertudung dan persembahkan empat lagu selawat ke atas nabi,” katanya.


Sumber: Baby Shima, MalaysiaKini



source https://www.thereporter.my/2023/02/tuan-haji-mengata-parti-sendiri-ke-tu.html
Previous
Next Post »