Kanak-kanak Korea Utara berdepan hukuman penjara 5 tahun jika didapati menonton filem Hollywood



Pihak berkuasa Korea Utara mengumumkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana rakyatnya yang didapati menonton filem dan program TV daripada sumber luar.


Kanak-kanak dan ibu bapa mereka berdepan dengan hukuman penjara sekiranya didapati menonton filem blockbuster Hollywood. Ini berikutan wujudnya permintaan besar untuk mendapatkan bahan hiburan dari media barat di negara itu.


Undang-undang di Korea Utara menetapkan, individu yang didapati menjual video seludup boleh dikenakan hukuman mati.


Sebelum ini, perbuatan itu hanya sekadar diberi amaran keras. Tetapi Radio Free Asia melaporkan, undang-undang telah diperketatkan dan tiada lagi kelonggaran untuk ibu bapa yang anak-anak mereka terdedah kepada budaya barat. 


Kanak-kanak yang ditangkap kerana menonton filem terbaru Marvel boleh dihukum penjara selama lima tahun di kem penjara, manakala ibu bapa mereka berdepan dengan hukuman penjara selama enam bulan. 


Bercakap, menari atau menyanyi 'seperti orang Korea Selatan' juga boleh dikenakan hukuman keras. 


Oktober tahun lalu, dua remaja didapati bersalah kerana menonton dan berkongsi filem Korea Selatan yang mengakibatkan mereka ditembak sehingga mati oleh skuad penembak di bandar Hyesan, berhampiran sempadan Korea Utara dan China. 


China adalah sumber utama untuk mendapatkan filem dan muzik dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang diseludup menggunakan pemacu USB dan CD melalui sempadan. 




source https://www.thereporter.my/2023/02/kanak-kanak-korea-utara-berdepan.html
Previous
Next Post »