'Hairan, kenapa masih ada yang kata DBKL ambil tindakan bermusim' - Admin FB DBKL tegas pihaknya konsisten banteras peniaga warga asing



Isu kebanjiran peniaga asing yang berniaga secara haram di bandar besar Kuala Lumpur bukan lagi isu baru dan ianya telah berlaku sejak dari dulu. 


Walaupun pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  tidak jemu membanteras dan mengambil tindakan undang-undang, golongan peniaga asing ini tetap kembali berniaga dengan alasan mereka perlu bekerja untuk menyara kehidupan. 


Tidak dinafikan DBKL sering dicemuh dan dituduh tidak tegas dalam mengambil tindakan terhadap peniaga asing ini, sedangkan pihaknya melaksanakan penguatkuasaan secara konsisten dan bukannya seperti apa yang dituduh oleh netizen yang hanya pandai menunding jari. 


"Tindakan penguatkuasaan ke atas penjaja warga asing khususnya di sekitar Pasar Harian Selayang bukanlah perkara yang asing bagi DBKL.


"Terkadang Min (pengendali Facebook DBKL) pun hairan, kenapa masih ada pihak yang mengatakan bahawa DBKL mengambil tindakan secara bermusim. 







"Jika diteliti posting-posting yang Min kemukakan  terdahulu, tindakan yang diambil ke atas penjaja warga asing ini bukan hanya dilaksanakan disebabkan isu viral baru-baru ini, tetapi telah dilaksanakan secara konsisten sejak sekian lama. 


"Tak mengapalah, mungkin yang membuat tuduhan tidak mengikuti Facebook DBKL lagi. Min nak tegaskan, DBKL sentiasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas penjaja warga asing ini bersesuaian dengan kuasa yang ada pada DBKL. 


"...kalau kami jumpa penjaja warga asing ini, kami terus sita tanpa kompromi," katanya dalam hantaran di Facebook (FB) pada Rabu lalu. 


Dalam hantaran sehari sebelumnya, pengendali FB DBKL juga kecewa dengan sikap penjaja di sekitar Sentul yang meninggalkan peralatan berniaga sehingga menimbulkan kesukaran pada pihak lain.







"Kalau ikut peraturan, selepas habis menjaja, peralatan dan kawasan persekitaran itu perlu dibersihkan. Bila dah ditinggalkan, dah tentulah menjadi halangan dan menimbulkan kesukaran kepada pengguna laluan seperti pejalan kaki. Kawasan pun nampak serabut. 


"Jadi, janganlah pula ada penjaja yang terkejut besar apabila datang ke tapak menjaja pada hari berikutnya, peralatan seperti khemah, meja, kerusi dan sebagainya yang ditinggalkan dah tak ada lagi. 


"Jawapannya mudah, DBKL sudah bantu untuk 'bersihkan'," ujarnya. 


Sumber: Facebook DBKL



source https://www.thereporter.my/2023/02/hairan-kenapa-masih-ada-yang-kata-dbkl.html
Previous
Next Post »