'Saya tak duduk di situ, tiada di situ, macam mana jiran kata saya ada di situ?' - Ali Puteh kesal difitnah 2 individu yang mengaku kononnya jiran



Pelawak Ali Puteh menafikan dakwaan dua individu yang mengaku sebagai jiran dan mendakwa Ali Puteh bersama ahli keluarganya yang lain berada dalam rumah semasa kakak iparnya, Siti Nurhidayah Mohd Ali, datang ke rumah untuk berbincang mengenai bayaran saman RM60,000 dan menuntut kunci rumah itu dikembalikan kepadanya, pada Jumaat lalu. 


Ali Puteh atau nama sebenar, Syed Mubarak Ali, 33, berkata, tuduhan dua individu itu adalah fitnah semata-mata kerana mereka tidak mempunyai bukti yang jelas. 


"Fitnah makin besar dan makin besar sekarang. Saya minta jiran yang kononnya jiran saya itu tampil ke depan dan pastikan betul atau tidak saya berada di rumah," katanya memetik laporan dari portal Gempak, Rabu. 


Jelas Ali, dia dan keluarganya tidak menetap di rumah milik arwah abangnya itu. Sebaliknya rumah itu dijaga oleh adiknya dan di belakang rumah itu pula adalah rumah kakaknya. 


"Saya tidak duduk di situ dan tiada di situ. Macam mana jiran kata saya ada di situ? Kalau betul, tampil ke depan. Orang kalau betul, tak pakai fake account untuk beri komen," katanya. 



Sebelum ini, Hakim Mi mendakwa Ali dan keluarga berada dalam rumah itu pada Jumaat lalu dan kelibat Ali dilihat dengan matanya sendiri. Malah dia menafikan Hidayah menabur benda-benda khurafat seperti yang didakwa oleh Ali. 


Mengeruhkan lagi keadaan, Anis Katara mendakwa Ali berniat tidak baik dan mahu memiliki rumah itu dan sanggup memburukkan kakak iparnya sendiri. 


Sumber: Gempak



source https://www.thereporter.my/2023/02/saya-tak-duduk-di-situ-tiada-di-situ.html
Previous
Next Post »