'Bayar saman RM60,000 secara ansuran? Saya tak setuju' - Hidayah tuntut Ali Puteh bayar segera atau berdepan dengan tindakan undang-undang



Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali menggesa pelawak Ali Puteh membayar RM60,000 kepadanya yang ditetapkan mahkamah sebelum ini dalam kadar segera tanpa kaedah ansuran.


Hidayah berkata dia tidak bersetuju sekiranya pihak Ali mahu menjelaskan jumlah bayaran berkenaan secara ansuran kerana tempoh masa yang agak lama sudah diberi.


"Saya tidak bersetuju dengan bayaran secara ansuran kerana perkara ini sudah diberi tempoh masa yang agak lama serta peguam saya juga memberi notis selama 21 hari untuk memberi kerjasama, tetapi pihak sana (Ali) tidak memberi sebarang jawapan.


"Dengan ini, saya menegaskan untuk pihak sana segerakan bayaran tanpa sebarang ansuran kerana saya tidak mahu ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku agar tidak ada perkara berbangkit kerana hal ini adalah perintah mahkamah yang jelas.


"Jadi, saya minta permudahkan urusan saya dan bayar dalam kadar segera kerana saya telah beri ruang dan tempoh masa yang agak lama sebelum ini. Hal ini akan diketengahkan dengan tindakan segera jika pihak sana masih melengah-lengahkan dan tidak memberi kerjasama," katanya.


Ditanya juga sama ada peguam daripada pihaknya sudah dimaklumkan yang Ali mahu membayar secara ansuran, Hidayah berkata peguamnya tidak menerima sebarang surat seperti mana yang diwar-warkan oleh pihak sana.


Ali sebelum ini memberitahu dia akan menjelaskan bayaran RM60,000 kepada Hidayah yang ditetapkan mahkamah sebelum ini secara ansuran. Katanya, proses pembayaran itu masih dalam perbincangan membabitkan peguamnya dan peguam Hidayah.


18 Februari tahun lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram, dua tahun lalu.


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2023/02/bayar-saman-rm60000-secara-ansuran-saya.html
Previous
Next Post »