Budak berusia 2 tahun hilang di kuari ketika tunggu bapa pulang dari kerja



Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Muhammad Rayyan Bujang Abdul Qayyum, dilaporkan hilang ketika sedang bermain berdekatan dengan Kuari Batu Perigi, Sematan di daerah Lundu, semalam. 


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu pada jam 4.05 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu telah dikerahkan ke lokasi. 




"Berdasarkan maklumat yang diterima, kali terakhir mangsa dilihat bermain di luar pondok di belakang rumah kongsi kuari.


"Ketika kejadian, kanak-kanak itu mengikut ibunya yang sedang menunggu bapanya pulang dari kerja, di Kuari Batu Perigi," katanya. 


Difahamkan, kehilangan mangsa hanya disedari oleh ibunya setelah mendapati anaknya itu tiada di sebelah. Pasangan itu kemudian meminta bantuan daripada beberapa individu lain untuk membantu mencari mangsa di kawasan sekitar, namun gagal menemui kanak-kanak itu lalu membuat laporan polis.





"Pasukan penyelamat seramai lapan anggota memulakan operasi SAR pencarian di sekitar belakang rumah dan sekitar kawasan belakang rumah dan kuari dalam radius 500 meter sehingga 1,000 meter sehingga ke kawasan ladang sawit. 


"Turut terlibat dalam operasi itu ialah pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pekerja kuari. Bagaimanapun sehingga jam 5.50 petang, mangsa masih gagal dikesan dan operasi SAR ditangguhkan," katanya. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2023/02/budak-berusia-2-tahun-hilang-di-kuari.html
Previous
Next Post »