197 kandungan fitnah di media sosial diturunkan, PAS tak puas hati & dakwa kerajaan sekat kebebasan penyokongnya bersuara terutamanya di TikTok



Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil semalam di Dewan Rakyat memaklumkan sebanyak 197 kandungan dari pelbagai platform media sosial bagi tempoh Januari lalu yang didapati melanggar etika telah diturunkan.


101 kandungan dari jumlah itu merupakan kandungan yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok. 


Bagaimanapun di mata pemimpin PAS, tindakan itu dilihat bermotifkan politik terhadap pempengaruh TIkTok yang tidak berpihak kepada kerajaan. Dan PAS mengecam keras tindakan itu yang juga disifatkan membuli pempengaruh media sosial yang mengkritik kerajaan. 


"Disebabkan mereka ini dilihat berpengaruh dan lantang, mereka telah diasak dan ditakutkan oleh kerajaan.


"Tidak sekadar itu, mereka ini dibuli dan diugut oleh penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH). Ini adalah satu tindakan yang tidak bertamadun dan tiada adab serta memburukkan lunas demokrasi negara kita," kata Ahli Parlimen Jerantut, Ir Khairil Nizam Khirudin. 


Mengulas mengenai isu berkaitan, Ahli Parlimen Bagan Serai, Idris Ahmad memberi contoh insiden yang menimpa tiga TikTokers wanita yang didakwa menjadi mangsa buli penyokong PH. Sedangkan perkara itu remeh sahaja.


"Terdapat beberapa insiden yang berlaku di mana beberapa orang TikTokers, budak perempuan saja, budak muda yang telah pun disiasat. Sedangkan perkara itu adalah perkara yang agak remeh.


"Hujah biarlah lawan dengan hujah. Jangan dimatikan semangat demokrasi di kalangan anak muda," katanya.



Sebelum ini di Twitter netizen mendakwa tiga wanita terbabit menyebarkan fahaman yang salah terhadap kerajaan walaupun sedar kenyataan yang diucapkan dalam video itu tanpa fakta dan bukti yang kukuh. 


Pada PRU15 November tahun lalu, turut dikesan penyokong PN yang menyebarkan video di TikTok menyentuh tragedi 13 Mei dengan tujuan menakutkan pengundi akan akibat daripada memangkah PH. 


Sementara itu bagi bekas pemimpin PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tiada kebebasan mutlak dalam hidup manusia dan setiap hak yang ada tetap mempunyai batasannya bagi memastikan seseorang itu tidak terlanjur sehingga melepasi had orang lain. 


"Kebebasan bersuara tidak bermakna kita bebas untuk mencipta fitnah, bebas memaki hamun manusia lain, bebas menjatuhkan maruah dan menghina. Itu terbabas, bukannya bebas," katanya. 


Sumber: Bernama, Sinar Harian, MalaysiaKini



source https://www.thereporter.my/2023/02/197-kandungan-fitnah-di-media-sosial.html
Previous
Next Post »