'Ayah tolong! Sakit... panas' - Budak 12 tahun maut dalam kebakaran, bapa kesal tak dapat selamatkan anaknya



Seorang kanak-kanak perempuan maut dalam kebakaran yang melanda kediamannya di Kampung Besah, Kuala Ketil, hari ini. 


Mayat mangsa, Nor Batrisha Razali, 12, ditemui dalam keadaan terlentang dan terbakar sepenuhnya oleh anggota bomba di dalam bilik tidur tingkat bawah rumah berkenaan yang terbakar 90 peratus. 


Bomba percaya, mangsa yang berada di tingkat atas sebelum itu dipercayai terjatuh ke tingkat bawah selepas api marak.


Ketika kejadian, mangsa bersama dengan bapa dan ibu tirinya sedang tidur. Bau asap kebakaran yang dipercayai datang dari bahagian dalam bilik tidur sebelah kanan disedari oleh Norsakinah Shuib (ibu tiri), 33, lalu bergegas mengejutkan suami dan anaknya. 




Bapa mangsa, Rozali Nayan, 55, kemudian cuba menyelamatkan mangsa dengan menendang pintu bilik, tetapi gagal berbuat demikian lalu meminta bantuan jiran berdekatan. 


"Saya dengar dengan jelas suara anak saya menjerit, 'Ayah tolong, sakit.. panas' dan cuba tendang pintu bilik tetapi tidak berjaya sebelum keluar menyelamatkan diri. 




"Saya sedih kerana saya memang sudah berusaha untuk menyelamatkannya tetapi tidak berdaya sebab api merebak dengan cepat. 


"Pasukan bomba sampai tidak lama kemudian dan selepas api dipadamkan barulah jasad anak saya ditemui. Barangan saya musnah dan tak dapat diselamatkan, malah kami kini tinggal sehelai sepinggang," katanya. 


Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2023/02/ayah-tolong-sakit-panas-budak-12-tahun.html
Previous
Next Post »