Facebook boleh dikatakan platform media sosial paling besar di dunia, dengan jumlah pengguna seramai 2.4 bilion di seluruh dunia. Mereka juga mempunyai isu dimana ramai pengguna di platform tersebut banyak menyebarkan berita palsu.
Kerajaan Singapura baru-baru ini telah memperkenalkan satu akta baru yang dinamakan Protection from Online Falsehoods and Manipulation Bill, yang boleh menghukum mana-mana rakyat Singapura yang menyebarkan berita palsu dengan saman sebanyak S$700,000 (~RM2.1 juta) ataupun dipenjara selama lima tahun.
Baru-baru ini, sebuah laman Facebook yang dinamakan States Times Review dilaporkan telah menyebarkan sebuah dakwaan bahawa seorang peniup wisel (whistleblower) telah ditangkap pihak polis kerana menyebarkan berita palsu mengenai kerajaan Singapura.
Kerajaan Singapura bertegas bahawa dakwaan tersebut tidak benar sama sekali, dan pada mulanya telah meminta pemuat-naik pos tersebut untuk menurunkan dakwaan tersebut.
Kerajaan Singapura kemudiannya terus bertanya kepada pihak Facebook, tetapi mereka tidak memadam pos tersebut, dan sebaliknya menambahkan nota bahawa mereka “diminta memberitahu” orang ramai bahawa ia mengandungi “maklumat palsu” menurut kerajaan Singapura.
Facebook dilaporkan tidak mahu memadam pos tersebut kerana tidak mahu dilihat bersekongkol dengan permintaan mana-mana kerajaan, tetapi meletakkan nota tersebut sebagai satu cara untuk mengurangkan kekeruhan yang mungkin disebabkan oleh penolakan permintaan tersebut.
Adakah ini boleh dilihat sebagai satu cara baru Facebook akan menangani berita-berita yang disensasikan seperti ini?