Peragut rantai emas maut dirempuh kereta mangsa


Tak sempat menikmati hasil ragut, seorang peragut maut selepas motosikalnya, Yamaha Y15zr, dirempuh kereta yang dinaiki oleh mangsanya. 

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kejadian itu berlaku pada jam 6.24 petang Ahad di Bandar Puteri Puchong. 

Mangsa yang berusia 44 tahun sebelum itu mahu menaiki keretanya dan didatangi suspek yang tiba-tiba merentap rantai emas mangsa, lalu terus melarikan diri. 

Bagaimanapun, mangsa kemudian terserempak dengan suspek yang menunggang motosikal secara melawan arus di Jalan Puteri 5/5. Suspek berhenti secara mengejut di tengah jalan menyebabkan mangsa gagal mengelak lalu merempuh suspek sehingga terjatuh dan terperosok di bawah kereta. 

Suspek yang parah dikejarkan ke Hospital Serdang, tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 7.25 malam kerana kecederaan parah. 

Difahamkan, rantai milik mangsa turut ditemui bersama suspek. 

Ismadi berkata, siasatan mendapati, suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau yang berkaitan dengan dadah dan samun. 

Mangsa juga membuat laporan polis dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Harian Metro


source https://www.thereporter.my/2019/12/peragut-rantai-emas-maut-dirempuh.html
Previous
Next Post »