Socar merupakan salah satu perkhidmatan langganan kenderaan, membolehkan pengguna untuk melanggan kereta untuk penggunaan jangka masa pendek. Pelbagai koleksi kereta ditawarkan melalui Socar, dan ia ditawarkan melalui beberapa lokasi strategik dibandar utama.
Terbaru, dalam usaha memudahkan lebih ramai pengguna melanggan kereta, Socar turut mengumumkan kerjasama dengan stesen Petronas.
Melalui kerjasama ini, pengguna boleh mendapatkan kereta Socar melalui lebih 52 stesen Petronas di Lembah Klang, Johor dan juga Pulau Pinang. Antara lokasi baru yang diperkenalkan melalui kerjasama ini adalah termasuk di Mutiara Damansara, NPE Pantai Dalam, TTDI, Jalan Maarof, Johor Jaya dan juga Sunway BKE.
Dengan langkah ini, ia sekaligus memudahkan lagi pengguna untuk melanggan dan menghantar kembali kenderaan Socar yang disewa.
Buat masa ini, Socar mempunyai lebih 2000 kenderaan dibawah mereka, dan boleh dilanggan menerusi aplikasi mereka di Android dan iOS.