Oppo Find X adalah peranti yang paling berinovasi dari Oppo. Ia adalah pertama dalam industri telefon pintar yang menggunakan rekaan boleh luncur dan juga yang pertama yang menggunakan sistem pengimbas wajah untuk Android tanpa pengimbas lain. Tidak dinafikan yang kehangatan peranti ini adalah singkat sahaja dan tidak berterusan seperti peranti lain. Namun, Oppo tidak akan berhenti di sini.
Sejak Oppo Reno diperkenalkan, Oppo sudah menyatakan yang mereka akan fokus kepada siri Reno dan siri Find. Jadi untuk Oppo Find X2 yang akan dilancarkan pada tahun 2020, Oppo akan menggunakan teknologi lain daripada yang lain pada peranti mereka. Yang pertama adalah lensa kamera, Oppo akan menggunakan lensa dari Sony. Lensa ini menggunakan teknologi 2×2 On-Chip Lens Solution. Teknologi ini akan membantu auto-fokus menjadi lebih baik dan pantas. Kemudian, sudah semestinya yang Find X2 adalah peranti mercu. Jadi, ia akan dijana Snapdragon 865.
Akhir sekali, teknologi skrin yang bakal digunakan pula adalah lebih hebat dari segi nilai HDR, resolusi dan juga kadar segar semula yang tinggi. Oppo sudah pun bereksperimen dengan Oppo Reno Ace, jadi mereka akan mengimplementasikan pada Find X2 akan datang. Tiada berita lanjut mengenai peranti ini lagi, apa-apa pun sama-sama kita nantikan kejutan dari Oppo. Mungkin ini akan menjadi inovasi baharu Oppo untuk 2020?