Zahid nafi BN akan sokong PN tubuh kerajaan persekutuan, Ahli Parlimen BN ingkar parti akan 'auto' hilang kerusi



Walaupun ramai yang menggesanya meletak jawatan susulan kekalahan teruk di PRU15, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya tidak pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan persekutuan. 


"Kesemua ahli Parlimen BN yang memenangi PRU15 (telah) menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada saya selaku Presiden untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan. 


"Sehubungan ini, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan," katanya. 


Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin pula membalas kenyataan itu dengan menjelaskan beliau tidak ada menyebut BN akan menyertai gabungan bersama PN untuk membentuk kerajaan persekutuan. 


Sebaliknya dia hanya menyebut, ada beberapa orang ahli Dewan Rakyat yang akan memberi sokongan kepada PN, tanpa menamakan ahli berkenaan daripada gabungan mana. 


Jelasnya lagi, tidak salah sekiranya ahli Parlimen BN menyatakan sokongan terhadapnya sebagai perdana menteri kali kedua. 


"Bagi saya, itu kenyataan dia. Tapi kalau ikut Perlembagaan, kata-kata ahli parlimen, tak kata dari parti mana ke, secara individu boleh, secara berkumpulan dan parti mereka boleh. 


"Tapi kalau ada antara lain ke, ahli-ahli parlimen yang buat keputusan untuk sokong saya, itu hak ahli parlimen. Ini bersandarkan perlembagaan negara," katanya. 


Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini



source https://www.thereporter.my/2022/11/zahid-nafi-bn-akan-sokong-pn-tubuh.html
Previous
Next Post »