Pentadbiran negara akan lebih stabil jika ditadbir oleh Pas - Nik Abduh



Pas mengandaikan pentadbiran negara akan menjadi lebih stabil sekiranya parti bertunjangkan agama Islam itu menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas PRU15. 


Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Pas yang selama ini mempunyai rekod bersih dan bebas daripada gejala rasuah, membuktikan bahawa parti itu mampu mentadbir dengan baik seperti mana yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpinnya dalam Kabinet di bawah Perikatan Nasional (PN). 


Tuduhan dan dakwaan yang mengatakan adanya pemimpin Pas terbabit dengan kes rasuah selama ini, hanyalah bersifat tohmahan semata-mata. 


"Tohmahan itu gagal dibuktikan secara jelas menerusi pendakwaan di mahkamah," katanya ketika berucap di Ceramah Mega Kubang Kerian Sejahtera, Pasir Tumboh, semalam. 


Perkara itu terbukti dengan kejayaan Pas mentadbir Kelantan selama 32 tahun, sekali gus rekod bersih itu meletakkan Pas sebagai parti bersih dan bebas dari rasuah. 


Berbanding parti-parti besar seperti BN, PKR dan DAP yang sebahagian pemimpinnya didakwa di mahkamah kerana terbabit dengan kes rasuah. 


Tidak ketinggalan, Nik Abduh turut mengangkatkan rakan komponennya iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) bebas dari kes rasuah. 


Justeru Nik Abduh menggesa rakyat keluar menunaikan tanggungjawab untuk mengundi PN pada Sabtu ini yang lebih layak mentadbir negara ke arah yang lebih baik. 


Sumber: Sinar Harian



source https://www.thereporter.my/2022/11/pentadbiran-negara-akan-lebih-stabil.html
Previous
Next Post »