'Dalam ucapan bukan main menentang perompak, tapi bila tubuh kerajaan jenis itu juga yang dipanggil untuk tubuh kerajaan' - Hadi



Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Abdul Hadi Awang menegaskan, PN menolak menyertai Kerajaan Perpaduan kerana beranggapan gabungan itu didominasi oleh parti bukan Islam (DAP). 


Beliau berkata, DAP pernah menentang Islam dan dasar-dasar yang dipegang Pas semasa kedua-dua parti itu pernah bergabung dalam Pakatan Rakyat. 


Dalam ucapannya dalam Ceramah Umum PN Pahang di Striti Darul Ummah, Pianggu, Hadi juga mengkritik Pakatan Harapan (PH) yang sanggup meninggalkan pendirian diri selepas menang 82 kerusi Parlimen di PRU15, dengan menjemput parti Barisan Nasional (BN) yang pernah digelar sebagai penyamun dan perompak, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan persekutuan. 


"Dalam ucapan bukan main. Menentang rasuah, menentang perompak, menentang lanun. Bila tubuh kerajaan, panggil yang jenis-jenis ini untuk cukupkan jumlah. Macam mana nak suruh kami terima? Kami ada maruah. 


"Ada orang kata, betullah dia punya tema, 'Kita Boleh'. Semua boleh, yang halal pun boleh, yang haram pun boleh," katanya memetik dari laporan Malaysia Gazette. 


Dalam pada itu juga, Hadi mendakwa keputusan BN menyertai Kerajaan Perpaduan diterajui PH juga telah menimbulkan rasa kurang senang ahli-ahli UMNO sehingga berlakunya protes dalam kalangan ahli di seluruh negara.


"Timbul kekecohan dalam UMNO. Orang UMNO protes menandakan benda ini tak sihat. Kita hormati, sayang saudara kita orang-orang UMNO. Bukan semua dalam UMNO macam itu," katanya. 


Sumber: Malaysia Gazette



source https://www.thereporter.my/2022/11/dalam-ucapan-bukan-main-menentang.html
Previous
Next Post »