GPS nekad kemukakan cadangan PN + BN + GPS + GRS untuk tubuh Kerajaan Persekutuan

Foto Borneo Post


Gabungan Parti Sarawak (GPS) nekad mengemukakan cadangan menubuhkan Kerajaan Persekutuan daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan GPS, walaupun ada pemimpin di Sarawak termasuk ahli GPS sendiri yang membantah keputusan Pengerusi GPS, Abang Johari Abang Openg. 


GPS berkata, gabungan yang dicadangkan itu wajar diterima kerana ia mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. 


Selain itu, GPS menegaskan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara, melebihi kepentingan peribadi. 


"Berikutan kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.


"Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara," kata kenyataan GPS hari ini, memetik laporan dari Harian Metro


Ahad lalu, Abang Johari mengumumkan GPS bersetuju dengan cadangan membentuk Kerajaan Persekutuan bersama PN, BN, dan GPS. Malah, GPS turut menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dipiliha sebagai Perdana Menteri kali kedua. 


Tetapi pengumuman Abang Johari itu menimbulkan rasa kurang senang ahli GPS yang mendakwa Premier Sarawak membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa berbincang dengan mereka. 


Ini kerana mereka bimbang dengan tindakan PN yang mempergunakan agama pada saat berkempen di malam PRU15 di mana Muhyiddin mendakwa wujudnya agenda Yahudi dan Kristian mahu mengambil alih Malaysia.  Malah, Muhyiddin secara jelas mendakwa berlakunya agenda mengkristiankan Malaysia yang ditaja oleh Pakatan Harapan (PH). 


Namun sehingga kini, kenyataan Ahli Parlimen Pagoh itu tidak disiasat ataupun diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Sedangkan di media sosial terutamanya platform TikTok mula menyebarkan fahaman yang salah mengenai Peristiwa 13 Mei akibat dari kenyataan tersebut.



source https://www.thereporter.my/2022/11/gps-nekad-kemukakan-cadangan-pn-bn-gps.html
Previous
Next Post »