‘Buat apa jadi perdana menteri kalau bacul’ - Anwar dakwa Ismail & Muhyiddin tak bela nasib golongan petani



Pengerusi Pakatanan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, menyelar dasar kerajaan yang didakwa terus berpihak terhadap kartel yang memonopoli import beras dan mengaut keuntungan besar tanpa memikirkan nasib golongan pesawah. 


"Siapa import beras? Bernas (Padiberas Nasional Berhad). Berapa untung setahun? Untung RM400 juta hingga RM500 juta. 


"Apa cadangan kita? Cadangan kita, untung syarikat Bernas ini bagilah sebahagian besar kepada pesawah-pesawah padi. Depa miskin, makan tak cukup. Pasal apa yang bagi seorang monopoli? 


"Pasal apa tak bagi kepada pesatuan-pesatuan peladang, persatuan pesawah padi? Tak ada. Muhyiddin buat? Tak berani. Ismail Sabri? Lagi tak berani. 


"Buat apa jadi perdana menteri kalau bacul, tak berani berdepan dengan tauke-tauke besar," katanya ketika berceramah di Kulim Bandar Baharu, Kedah, malam tadi. 


Menurut Anwar, perkara itu akan diubah kepada dasar yang lebih berpihak kepada golongan pesawah jika rakyat memberi mandat PRU15 kepadanya untuk mengetuai kerajaan sebagai perdana menteri. 


"Bagi kita, insyaAllah kita akan tukar kartel ini. Import beras untungnya kita bagi kepada pesawah padi," katanya. 


TAKKAN AMBIL GAJI PM JIKA DILANTIK


Sementara itu, ketika berceramah kempen di Kalabakan, Sabah, kelmarin, Anwar memaklumkan jika dia dilantik sebagai perdana menteri, dia tidak akan mengambil gajinya sebagai solidariti kepada rakyat Malaysia yang sedang bergelut dengan isu kenaikan harga barang. 


Anwar berkata, dia faham bahawa rakyat sudah muak dengan perdana menteri yang menjalani gaya hidup mewah tatkala rakyat sedang berusaha menangani kos sara hidup yang kian meningkat. 


"Saya akan malu untuk mengambil gaji perdana menteri, sedangkan rakyat menderita dengan kenaikan harga barang. Dalam Islam, kuasa adalah tanggungjawab, bukan keistimewaan,"katanya. 


Sumber: MalaysiaKini



source https://www.thereporter.my/2022/11/buat-apa-jadi-perdana-menteri-kalau.html
Previous
Next Post »