'BKM Fasa 4 haram diterima rakyat kerana Ismail hanya PM Sementara & tiada kuasa untuk keluarkan wang RM2.1 bilion' - Tun M



Beberapa hari lalu, Perdana Menteri Sementara, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, pembayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Keempat akan dipercepatkan daripada Disember kepada 15 November ini dengan alasan untuk penerimanya bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya bencana banjir disebabkan Monsun Timur Laut.


Bagaimanapun, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan Ismail itu bertujuan meraih undi rakyat menjelang PRU15. 


Sedangkan Ismail hanyalah perdana menteri sementara setelah Parlimen dibubarkan dan tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perbelanjaan dalam jumlah RM2.1 bilion itu tanpa usul diluluskan di Parlimen. 


"Bila tak ada Parlimen, dia tak boleh buat apa-apa usul, tak boleh belanja wang yang banyak kerana semua perbelanjaan, semua usul mesti dilulus dalam Parlimen, barulah dia jadi halal. 


"Tetapi dia (Ismail) tak boleh nak tunggu. Dia nak pengaruh, nak dapat undi, dia ambil duit kerajaan sebanyak RM2.1 bilion dan nak bagi pada semua orang (penerima). 


"Ya lah tuan-tuan dan puan-puan mungkin terima jugalah tapi duit itu tak sah, tak halal kerana itu curi, curi duit kerajaan," katanya. 


Sementara itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) juga menyifatkan tindakan Ismail itu tidak wajar dan melanggar konvensyen amalan kerajaan sementara yang diamalkan di negara-negara lain. 


"Walaupun tidak dinafikan bahawa rakyat dijangka akan berhadapan dengan MTL dan memerlukan bantuan sekiranya berlaku hujan lebat dan banjir, pengumuman tersebut boleh dianggap sebagai menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen bagi Perdana Menteri Sementara atau parti gabungan yang beliau wakili," kata jurucakap Bersih.


BKM Fasa 4 akan mula dibayar secara berperingkat mulai esok dan dijangka selesai pada 18 November 2022 yang membabitkan 5.2 juta penerima, masing-masing menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masin. 


Sumber: Malaysia Gazette, Sinar Harian



source https://www.thereporter.my/2022/11/bkm-fasa-4-haram-diterima-rakyat-kerana.html
Previous
Next Post »