'Order sape yang terbakar tu?' - Lori bawa barang promosi Lazada 11.11 terbakar


Malang tak berbau. Lori yang dipercayai membawa barangan promosi Lazada 11.11 dilaporkan musnah dalam kebakaran kelmarin, dalam kejadian yang berlaku berhampiran D'alamanda, Jalan Impian Cheras, Kuala Lumpur. 


Lapor Kosmo Online, lori berkenaan baru sahaja mengambil barangan tersebut daripada pembekal untuk dibawa ke pusat pengumpulan operasi, mengalami kerosakan sepenuhnya akibat kebakaran yang tidak dijangkakan itu. 


Komander Operasi Kanan, Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Rozi Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.34 petang dan sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian. 


Sebaik saja tiba di lokasi mereka mendapati bahagian belakang lori lima tan itu sedang dijilat api. Bomba mengambil masa 15 minit untuk memadamkan kebakaran itu dan 60 peratus barangan dalam lori itu musnah. 


Siasatan awal mendapati, pemandu lori berkenaan memaklumkan terhidu bau hangit ketika membuka pintu untuk menyimpan barang dan tiba-tiba berlaku kebakaran. 


Difahamkan, barang-barang dalam lori itu mudah terbakar menyebabkan api cepat merebak. Antara barangan yang musnah adalah pakaian, peralatan permainan kanak-kanak dan lain-lain. Punca kejadian dan kerugian sedang disiasat. 


Sumber: Kosmo Online



source https://www.thereporter.my/2020/11/order-sape-yang-terbakar-tu-lori-bawa.html
Previous
Next Post »