'Baru kena siku dah rebah' - Mangsa sempat siku peragut sampai jatuh dari motosikal


Tindakan pantas seorang lelaki menyiku peragut membuatkan suspek terjatuh dan berjaya ditahan orang awam dalam kejadian yang berlaku di Taman Sunway Batu Caves, Jumaat, 27 November 2020. 


Suspek yang berusia 27 tahun itu dikatakan cuba meragut rantai leher mangsa di hadapan sebuah restoran pada jam 12.40 tengah hari ketika mangsa berusia 29 tahun sedang mengeluarkan anaknya dari dalam kereta. 


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek yang menunggang motosikal tiba-tiba datang dan cuba meragut rantai leher mangsa dan mangsa sempat menyiku dadanya sehingga menyebabkan suspek terjatuh dari motosikal. 


Dengan bantuan orang ramai yang ternampak kejadian itu, suspek berjaya ditahan dan diserahkan kepada anggota MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. 


Difahamkan, suspek baru sahaja dibebaskan dari perintah sekatan buang daerah (PCO) pada 23 November lalu. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah. Semakan rekod juga menunjukkan suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah. 


Suspek direman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2020/11/baru-kena-sikut-dah-rebah-mangsa-sempat.html
Previous
Next Post »