'Mangsa tak berdaya melawan' - Pendakwah Selebriti terpalit dengan kes rogol, direman 5 hari


Baru saja membuat laporan polis menafikan dakwaan rogol yang tersebar di Twitter, malah menegaskan dakwaan itu adalah fitnah yang dianggap mahu menjejaskan reputasi, maruah dan imejnya sebagai pendakwah. Semalam, pendakwa selebriti itu telah ditahan polis dan direman selama lima hari untuk membantu siasatan. 


Menurut laporan media, suspek berusia 25 tahun itu ditahan pada jam 11 malam kelmarin selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam, berhubung dkawaan merogol seorang gadis tahun lalu. 


Berdasarkan laporan yang dibuat, mangsa berusia 23 tahun itu keluar dengan suspek yang dikenalinya melalui media sosial pada jam 8 malam, 11 September 2019, menaiki kereta BMW. Pertemuan mereka itu dibuat bagi membincangkan masalah kemurungan yang dihadapi dengan kaedah perubatan Islam. 


Kedua-duanya berbincang di kedai makan di Batu 3, Shah Alam sebelum suspek membawa mangsa ke rumahnya di Seksyen 7 atas alasan mahu memberi penerangan kepada mangsa tentang bagaimana mahu pulih dari penyakit kemurungan. 


Semasa berada di dalam rumah, mangsa mendakwa dia telah dirogol dan tidak berdaya untuk melawan, malah dia tidak tahu bagaimana mahu keluar dari tempat itu. 


Mangsa juga mendakwa suspek telah mengugut untuk tidak memberitahu kejadian itu kepada sesiapa dan memaklumkan mangsa akan dipantau dari jauh. Suspek kemudian menghantar mangsa ke lobi pada keesokan hari dan mangsa pulang ke rumah sewanya menaiki kenderaan e-hailing. 


Sejak dari kejadian itu, mangsa mengalami tekanan perasaan dan dimasukkan ke Hospital Kajang sebelum dirujuk ke rawatan psikiatri dan diberi rawatan susulan pada 23 September 2019. 


Oktober 2019, mangsa pulang ke rumah keluarganya di Triang, Pahang dan mendapat rawatan semula di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan ditahan selama lima hari di wad psikiatri. 


Mangsa disahkan mengalami tekanan perasaan yang teruk serta trauma akibat kejadian itu dan sehingga kini masih menerima rawatan susulan. 


Suspek direman selama lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. 


Sementara itu, bapa suspek meminta netizen tidak terus menjatuhkan hukum dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukuman. 


Bapanya turut mendoakan agar anaknya tabah menghadapi ujian tersebut dan sentiasa tenang walaupun berdepan dengan apa jua situasi. 


Sumber: Harian Metro, Gempak, Info Roadblock JPJ/POLIS



source https://www.thereporter.my/2020/11/mangsa-tak-berdaya-melawan-pendakwah.html
Previous
Next Post »