Guru & penuntut kolej dakwa dirogol, dicabul pendakwah selebriti, tampil buat laporan polis


Dalam perkembangan terkini dakwaan kes rogol yang membabitkan pendakwah selebriti berusia 25 tahun, dua wanita iaitu guru dan penuntut kolej yang mendakwa pernah menjadi mangsa rogol dan cabul suspek, tampil membuat laporan polis. 


Penuntut kolej berusia 22 tahun itu tampil membuat laporan polis pada jam 3.51 petang Ahad, 29 November 2020 dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut. 


Menurut laporan gadis berkenaan, kejadian itu berlaku pada jam 1 pagi pada 17 Oktober lalu d mana mangsa dipelawa masuk ke rumah suspek di Damansara Perdana untuk mengajar mengenai pemasaran perniagaan. 


Semasa berada di rumah suspek, mangsa dicabul dan turut dipaksa melakukan seks oral. Mangsa trauma dengan kejadian itu dan kini sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). 


Sementara itu, seorang guru wanita berusia 22 tahun turut membuat laporan polis di Balai Polis Damansara. Setakat ini polis masih belum mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai laporan dari guru berkenaan. 


"Setakat ini di Petaling Jaya, kita menerima dua laporan membabitkan cabul dan rogol oleh individu terbabit. Maklumat lanjut berkaitan dengan kejadian itu akan dimaklumkan nanti," katanya. 


Setakat ini, tiga kes telah dilaporkan membabitkan pendakwah selebriti berkenaan yang sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dakwaan yang tersebar di media sosial itu adalah fitnah yang berniat menjatuhkan maruah dan reputasinya sebagai pendakwah. 


Suspek telah ditahan polis pada jam 11 malam Khamis lalu susulan mendapat laporan dari mangsa pertama yang mendakwa dirogol oleh suspek pada September 2019 sehingga menyebabkannya trauma dan mengalami tekanan perasaan yang teruk. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2020/11/guru-penuntut-kolej-dakwa-dirogol.html
Previous
Next Post »