'Jangan call polis, saya tak nak dihantar ke rumah anak yatim' - Ibu tinggalkan anak sendiri di rumah selama 8 hari, dibiarkan kelaparan


Seorang ibu bakal hilang hak penjagaan terhadap anak lelakinya berusia 10 tahun selepas dia mengurung kanak-kanak itu bersendirian di dalam rumah dan hanya meninggalkan beras untuk dimakan sebelum menghilangkan diri bersama anjing peliharaannya selama lapan hari. 


Natalya Azarenkova, 31, telah ditahan Polis Rusia dan kanak-kanak bernama Mikhail, telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 


Peristiwa yang menimpa kanak-kanak itu terbongkar selepas empat hari ditinggalkan, dia menjerit meminta pertolongan dari jirannya di blok pangsapuri di Peredelkino, Moscow. 


Pintu rumah dikunci dari bahagian luar dan Mikhail merayu kepada jirannya untuk tidak menghubungi talian kecemasan kerana bimbang dia akan dihantar ke rumah kebajikan dan tidak akan dapat bertemu dengan ibunya lagi. 


Mikhail memaklumkan, ibunya telah meninggalkan dia bersendirian dengan beras mentah sebagai bekalan, tetapi tiada air yang dapat digunakan untuk memasaknya, selepas ibunya memberitahu dia keluar sebentar untuk membawa anjing peliharaan mereka berjalan-jalan. 


Mangsa ditinggalkan tanpa bekalan makanan dan air minuman. Bekalan elektrik dan air juga ditutup, membuatkan Mikhail tidak dapat memasak nasi. 


Jiran yang prihatin terpaksa menghulurkan makanan dan minuman kepadanya melalui balkoni dari tingkat atas. Tetapi apabila mereka mendapati ibu mangsa tidak pulang ke rumah pada keesokan hari, mereka terus menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan kerana bimbang dengan keselamatan kanak-kanak itu. 


"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kanak-kanak itu mampu bertahan selama lima hari/ Ada banyak lipas dan lalat di mana-mana dan juga bau yang kurang menyenangkan di dalam rumah itu," kata Dmitry, jiran mangsa. 



Biarpun diperlakukan sedemikian, Mikhail masih menyayangi ibunya. Bapa Mikhail telah meninggal dunia dua tahun lalu. 


Selepas lapan hari menghilangkan diri, akhirnya Natalya pulang ke rumah. Natalya ditahan polis ketika sedang membawa anjing peliharaannya berjalan-jalan. Suspek mengaku telah mengurung anaknya di rumah tetapi menjelaskan dia telah meninggalkan beras yang cukup untuk Mikhail makan selama dua hari. 


Dia berkata, dia meluangkan masa dengan rakan-rakannya selama tempoh tersebut. Tetapi ketika disoal siasat, Natalya gagal memberi penjelasan mengapa dia meninggalkan Mikhail bersendirian terlalu lama. 


"Saya perlukan anak lelaki saya, saya nak memperbetulkan semuanya," katanya. 


Natalya kini berdepan dengan hukuman penjara dan hak penjagaannya untuk membesarkan Mikhail juga akan dilucutkan, menurut laporan media tempatan. - Daily Star



source https://www.thereporter.my/2020/11/jangan-call-polis-saya-tak-nak-dihantar.html
Previous
Next Post »