Kecewa selepas putus cinta, gadis nekad ubah penampilan jadi cantik

Kisah seorang gadis berasal dari Vietnam nekad mengubah penampilannya secara drastik selepas putus hubungan dengan teman lelakinya, menjadi perbualan hangat di media sosial. 


Gadis bernama Nguyen Tuong Vy itu viral di media sosial selepas memuat naik gambar lamanya beberapa tahun lalu yang berbeza dengan penampilannya yang terkini di usia 21 tahun setelah menjalani pembedahan plastik. 


Gadis yang menetap di wilayah Dak Lak itu berkata, dia dan teman lelakinya sebelum ini sangat bahagia. Teman lelakinya selalu memberitahu yang dia menyukai Nguyen kerana personalitinya, bukan kerana rupanya. 


Lelaki itu juga tidak pernah memperkenalkannya kepada rakan-rakan. Sehingga satu hari teman lelakinya dijemput oleh rakan untuk menghadiri majlis ulang tahun kelahiran dan bermulalah episod hitam tersebut. 


Mengimbas kembali insiden berkenaan, Nguyen berkata ramai tetamu yang menunjuk-nunjuk dan mengumpat mengenai dia tentang, bagaimana seorang lelaki yang mempunyai paras rupa kacak boleh memilih gadis berwajah hodoh sebagai teman wanita. 


Trauma dan kecewa dengan apa yang berlaku, Nguyen mengambil keputusan untuk berpisah dengan lelaki itu. Lebih teruk lagi, lelaki itu segera bersetuju dan membuatkan Nguyen bertambah sedih. 


Selepas melalui peristiwa yang tidak menyenangkan itu, Nguyen sekali lagi dikejutkan dengan perkara yang tidak diingini bilamana dia ternampak bekas teman lelakinya keluar bersama seorang perempuan yang jauh lebih cantik dari dirinya. 


Penampakan itu membuatkan Nguyen terkesan dan nekad mengubah penampilan. Nguyen kemudian menyatakan hasrat untuk membuat pembedahan plastik dan meminta kebenaran dari ibu dan ternyata ibunya bersetuju dan memberi sokongan untuk dia berbuat demikian. Malah sanggup menanggung kos pembedahan dan membawa Nguyen ke klinik. 


"Saya luahkan masalah saya kepada ibu mengenai penampilan saya dan bagaimana ia telah menjejaskan keyakinan diri. Tak disangka-sangka, ibu beri sokongan untuk buat pembedahan plastik. Ibu juga sanggup tanggung semua kos itu dan membawa saya ke klinik berkenaan. Saya sangat bersyukur," katanya. 


Sebaik saja tamat persekolahan, Nguyen yang berusia 19 tahun ketika itu terus membuat pembedahan plastik dan perlu melalui beberapa prosedur seperti membentuk semula hidung, pipi, bibir dan lain-lain. 


Selesai melakukan semua prosedur tersebut, Nguyen mula mendapat perhatian dari orang ramai yang memuji penampilannya yang cantik. Dia menjadi lebih yakin untuk berdepan atau bercakap dengan orang serta dapat memulakan 'hidup baru'. Nguyen juga bersyukur bekas teman lelakinya yang banyak memberikan motivasi untuk berubah. 



"Sudah empat tahun saya tidak bertemu dengan dia, walaupun dia masih follow saya di sosial media dan tekan like pada gambar saya setiap hari. 


"Sebelum ini saya selalu menyalahkan dia di atas apa yang berlaku, tetapi sekarang jika saya letakkan diri di situasi dia, saya juga tidak berani memperkenalkan pasangan hodoh kepada rakan-rakan saya. Saya bersyukur, dia banyak memberi motivasi kepada saya untuk berubah dan memperbaiki diri," katanya. 


Kisah Nguyen mengundang banyak perhatian di media sosial. Ada yang memuji usahanya untuk mengubah penampilan dan tidak kurang uga yang mengkritik kenyataan yang tidak berani memperkenalkan orang berwajah hodoh kepada rakan-rakannya. 


Sumber: Oddity Central



source https://www.thereporter.my/2020/11/kecewa-selepas-putus-cinta-gadis-nekad.html
Previous
Next Post »