'Semua dah selesai, no komen' - Ben setuju bayar RM100K secara ansuran 5 kali kepada Elisa Vision Sdn Bhd

Foto Ben Amir diekori wartawan | Harian Metro


Pelakon Ben Amir, 32, yang disaman kerana melanggar kontrak ketika membintangi drama Demi di Inverness, Scotland pada awal Mac 2020, bersetuju membayar RM100,000 kepada syarikat produksi Elisa Vision Sdn Bhd. 


Lapor Harian Metro, Ben atau nama sebenar, Muhammad Amir Sabaruddin, dengan produksi berkenaan bersetuju menyelesaikan isu yang timbul di antara mereka dengan cara baik di Mahkamah Sesyen, hari ini di mana Ben bersetuju membayar RM100,000 kepada syarikat produksi itu. 


Hakim Tasnim Abu Bakar berkata, Khamis 14 April 2022 sepatutnya menjadi hari pertama perbicaraan kes saman, tetapi kedua-dua belah pihak bersetuju menyelesaikan kes itu. 


"Ben akan membayar RM100,000 dengan lima kali bayaran secara ansuran sebanyak RM20,000 bermula 10 Mei sehingga selesai. 


"Sekiranya defendan (Ben) gagal berbuat dmeikian, maka defendan perlu membayar jumlah asal yang dituntut oleh plaintif sebanyak RM211,477 dikembalikan". 


Ben ketika ditemui di luar mahkamah enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut dan hanya mengatakan kes itu telah selesai. 


"Semua dah selesai (cara baik), itu sahaja, no komen," katanya ringkas.


Sementara itu, penerbit Elisa Vision Sdn Bhd, Datin Mahfuzah Zakkiah Abdain memanjatkan rasa bersyukur kerana kes itu sudah diselesaikan dengan cara baik dan memaafkan Ben dia atas apa yang berlaku. 


"Saya bersyukur kes ini dapat diselesaikan secara baik. Saya pun sudah memaafkan dia di atas apa yang berlaku. Pada saya, ini berkat Ramadan. Dia pun orang yang baik dan saya tiada masalah dengannya kerana semua sudah selesai," katanya. 


Dalam pada itu, Datin Mahfuzah juga menyatakan kesediaan pihaknya bekerjasama dengan Ben di masa akan datang sekiranya Ben sudi. 


Difahamkan, pihak Elisa Vision Sdn Bhd memfailkan saman terhadap Ben pada 27 Mac 2020 kerana pelakon itu didakwa pulang ke Malaysia sendirian meninggalkan semua kru produksi dan pelakon. 


Tindakannya itu dianggap tidak bertanggungjawab dan menyebabkan penggambaran drama yang sedang dijalankan di Scotland tidak dapat diteruskan. Ben juga dikatakan enggan menyiapkanbaki penggambaran itu di Malaysia dan tempatnya terpaksa digantikan dengan pelakon lain serta produksi teraksa membuat penggambaran semula. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/04/semua-dah-selesai-no-komen-ben-setuju.html
Previous
Next Post »