Pekerja yang pilih BDR wajar diberi gaji kecil, termasuk elaun dipotong - MEF



Mana-mana pekerja yang memilih untuk bekerja dari rumah (BDR / WFH) adalah wajar diberi gaji lebih kecil, termasuk memotong elaun-elaun yang berkaitan, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF). 


Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, ada pekerja yang bersetuju dengan cadangan itu kerana konsep bekerja dari rumah banyak menjimatkan kos pergi dan balik dari tempat kerja. 


"Sebenarnya ada pelbagai pendapat mengenai sama ada wajar BDR itu dibayar lebih kecil, tetapi banyak syarikat kata kalau ada pengurangan, ia tidak harus banyak iaitu antara 10 hingga 12 peratus. 


"Ini dilakukan sebab faktor tertentu di mana kalau kita lihat ada sesetengah syarikat memberikan elaun pergi dan baliuk bekerja. 


"Maknanya, elaun perjalanan tidak harus diteruskan jika pekerja memilih bekerja dari rumah. Ada pekerja memilih gaji kurang apabila dibanding dengan ulang alik tempat kerja di mana kos boleh dikurangkan, itu antara faktor diambil jika mereka boleh turunkan gaji pekerja dari rumah," katanya. 


Bagaimanapun katanya, ada pihak yang berpendapat gaji pekerja BDR tidak wajar dikurangkan kerana mereka bekerja seperti biasa seperti waktu pejabat. 


Tinjauan MEF sendiri juga mendapati, tidak ramai majikan yang mahu meneruskan konsep BDR kerana kebanyakan mereka memilih untuk beroperasi dari tempat kerja. 


Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, tidak bersetuju dengan cadangan itu yang menurutnya pekerja BDR juga mengeluarkan duit untuk syarikat. 


"Pekerja yang bekerja dari rumah pun keluar duit untuk syarikat juga. Bil elektrik, WiFi bayar sendiri. Selalunya memang kena kerja sampai malam juga. Kalau bab potong gaji, laju je fikir," katanya. 


Bagi Grace, tawaran bekerja dari juga mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya sekali gus mengurangkan kesesakan dan pencemaran udara. Majikan pula boleh menjimatkan ruang di pejabat dan perbelanjaan utiliti juga berkurangan. 


Berbeza pula dengan Wahida yang tidak bersetuju kerana tindakan itu hanya akan membebankan pekerja dalam usaha menyara kehidupan keluarga. 


"Sampai hati betul, rakyat bukan semua tengah senang. Harga barang semakin naik. Cuba fikirkan apa solusi untuk menjana pendapatan negara dari negara lain, bukan dari rakyat sendiri," katanya. 


"Kerja dari rumah terpaksa guna wifi sendiri dan bil elektrik pun meningkat demi menyiapkan kerja. Belum termasuk guna kertas dan printer sendiri. Eh, tak ada union pekerja satu Malaysia ke nak ketuk balik MEF ni?" ujar netizen yang lain. 


Sumber: Astro Awani



source https://www.thereporter.my/2022/04/pekerja-yang-pilih-bdr-wajar-diberi.html
Previous
Next Post »