'Saya bersyukur & lega' - Ibu mangsa tragedi basikal lajak akui masih trauma kehilangan anak

Foto Sabariah | Harian Metro


Mahkamah Tinggi Johor Bharu semalam menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap Sam Ke Ting, 27, kerana didapati bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang sedang bermain basikal lajak pada jam 3 pagi.


Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017, lapan remaja bermain basikal lajak di Jalan Lingkaran Dalam maut, manakala lapan lagi mangsa lain mengalmai kecederaan akibat dirempuh oleh kereta suspek, Sam Ke Ting.  


Keputusan mahkamah itu memberi kelegaan kepada keluarga mangsa yang telah sekian lama menunggu keadilan untuk anak-anak kesayangan mereka. 


Salah seorang ibu mangsa, Sabariah Yusof, 54, berkata, sehingga ke hari ini dia masih trauma dengan kehilangan anak kelapannya, Mohamad Azhar Amir yang ketika itu berusia 16 tahun. Lebih teruk lagi, masyarakat memandang serong terhadap mangsa-mangsa yang terkorban dan kejadian itu, sedangkan keluarga mangsa menderita dan trauma sejak kejadian itu. 


Sabariah mengakui tidak mengetahui keputusan mahkamah itu, namun dia bersyukur kes itu akhirnya sudah berakhir. 


"Saya bersyukur dan lega apabila ia sudah berakhir. Trauma kehilangan anak disayangi masih belum dapat saya lupakan, apatah lagi Allahyarham amat manja dan rapat dengan saya. 


"Selama tiga tahun saya kerap terjaga dari tidur dan mencari Allahyarham sebelum menyedia dia sudah meninggalkan saya, malah katil arwah di ruang tamu ini juga masih tidak diubah dan dijaga rapi." katanya. 


Menurut Sabariah, arwah anaknya orang yang baik, selalu menjaga dan menggembirakan dia serta membantunya mencari pendapatan tambahan dengan menjual puding yang dimasaknya di sekitar kawasan rumah. 


Ketika ditanya sama ada dia memaafkan Sam Ke Ting, Sabariah hanya tersenyum sambil mengesat air matanya.


"Saya tidak tahu bagaimana nak terangkan perasaan ini, namun saya reda atas apa yang berlaku," katanya.


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/04/saya-bersyukur-lega-ibu-mangsa-tragedi.html
Previous
Next Post »