Budak 3 tahun maut & ususnya didapati pecah disyaki didera ibu & bapa tirinya



Polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki mendera anak perempuan berusia tiga tahun sehingga mati dalam kejadian di rumah mereka di daerah Kubang Pasu. 


Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya terdahulu menerima maklumat dari Hospital Jitra yang memaklumkan kematian mangsa pada jam 7.30 petang semalam. 


Susulan itu, pihaknya menahan ibu mangsa berusia 26 tahun dan bapa tirinya berusia 22 tahun untuk direman selama seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Hasil laporan bedah siasat mendapati, usus mangsa pecah dan terdapat beberapa kesan pukulan dan kecederaan di bahagian belakang dan hadapan badan mangsa. 


Difahamkan, ibu mangsa tidak bekerja, manakala suaminya bekerja sebagai peniaga air. Pasangan berkenaan baru sahaja mendirikan rumah tangga empat bulan lalu. Suspek wanita dikatakan mempunyai dua lagi anak berusia empat dan enam tahun. Mangsa yang maut merupakan anak bongsunya. 


Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati ada elemen penderaan yang boleh menyebabkan kematan. Polis percaya badan mangsa telah ditekan dan doktor pula memaklumkan usus mangsa pecah berkemungkinan akibat dipijak atau sebagainya. 


Ketika disoal siasat, kedua-dua suspek mengaku pernah memukul mangsa tetapi masih belum dapat dipastikan sama ada perbuatan mereka itu yang menjadi punca kematian mangsa. 


Semakan rekod turut mendapati suspek wanita mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah, manakala suspek lelaki tiada rekod. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/04/budak-3-tahun-maut-ususnya-didapati.html
Previous
Next Post »