'Sam Ke Ting pernah dibebaskan 2 kali, menunjukkan terdapat keraguan dalam kes ini' - Ramkarpal Singh



Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh memaklumkan, kerani, Sam Ke Ting, 27, yang didapati bersalah atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak lima tahun lalu dikenakan hukuman penjara 6 tahun dan denda RM6,000, boleh memohon penangguhan hukuman sekiranya kebenaran merayu dibenarkan Mahkamah Rayuan. 


Sam Ke Ting bagaimanapun, perlu segera memfailkan permohonan rayuan untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kepada Mahkamah Rayuan. 


"Sama ada hakim Mahkamah Tinggi melakukan sebarang kesilapan yang mewajarkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan masih perlu dilihat selepas kajian teliti berhubung alasan penghakimannya.


"Tetapi saya berpendapat bahawa Ke Ting harus memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu terhadap keputusan terbabit kepada Mahkamah Rayuan dengan segera. 


"Ini kerana dia sudah dibebaskan dua kali sebelum ini oleh Majistret yang menunjukkan bahawa terdapat keraguan sama ada dia melakukan kesalahan seperti yang didakwa. 


"Saya percaya bahawa Majistret membuat pelbagai penemuan fakta yang mengakibatkan pembebasan Ke Ting yang lazimnya tidak diganggu dalam rayuan melainkan didapati sebaliknya.


"Jadi, saya berpendapat bahawa Ke Ting boleh memohon penangguhan pelaksanaan hukumannya sekiranya kebenaran dibenarkan oleh mahkamah Rayuan dan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuannya," katanya. 


Dalam pada itu juga, Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkenaan berkata, Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP bersedia memberi khidmat bantuan guaman kepada Ke Ting untuk pasukan peguamnya dalam memfailkan dan mendengar permohonan terbabit untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Rayuan. 


Sumber: Berita Harian



source https://www.thereporter.my/2022/04/sam-ke-ting-pernah-dibebaskan-2-kali.html
Previous
Next Post »