Didakwa bunuh kekasih, YouTuber Jamal berdepan dengan hukuman gantung sampai mati

Foto tertuduh | Harian Metro


YouTuber yang didakwa membunuh wanita yang juga kekasihnya yang juga YouTuber pada 3 April lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini. 


Tertuduh, Abdul Jamal Ahmad, 23, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi. Bagaimanapun, tertuduh tidak membuat sebarang pengakuan. 


Mengikut pertuduhan, Abdul Jamal didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Nur Diyanah Harris, 21, dalam kejadian di No 12A Lintang Kampung Masjid 3, Teluk Kumbar, di antara jam 9 pagi hingga 4 petang. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. 


Timbalan Pendakwa Rakyat Nurul Atikah Asharaf Ali tidak menawarkan sebarang jaminan, namun tertuduh boileh membuat rayuan di Mahkamah Tinggi. 


Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 13 Julai depan, sementara menunggu laporan bedah siasat. 


Media sebelum ini melaporkan, pasangan berkenaan menumpang di rumah sewa rakan mereka sejak tiba di negeri itu pada 27 Mac lalu untuk urusan berkaitan dengan video YouTube. 


Pasangan itu kemudian bertengkar dan mangsa dipukul oleh suspek menggunakan objek tumpul, sehingga tidak sedarkan diri. 


Mangsa terus dibawa ke Hospital Balik Pulau (HBP) dan keadaannya dilaporkan kritikal. Pemeriksaan mendapati, terdapat kesan lebam di kepala dan seluruh badan mangsa. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.


Abdul Jamal bersama tiga lagi rakannya ditahan untuk membantu siasatan berhubung kematian mangsa yang dilaporkan cedera parah akibat dipukul dalam kejadian yang disyaki bermotifkan cemburu.


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/04/didakwa-bunuh-kekasih-youtuber-jamal.html
Previous
Next Post »