'Rasa tak sedap hati...' - Suami meninggal dunia dalam kereta semasa tunggu isteri hadir temu duga


YouTuber berusia 35 tahun dilaporkan meninggal dunia di dalam kereta ketika sedang menunggu isterinya menghadiri temuduga di sebuah hospital swasta di Bangsar, Jumaat, 18 Disember 2020. 


Nurul Ain Mohd Razip, 31, berkata dia menghadiri temu duga bagi jawatan jururawat di hospital tersebut dan dalam masa yang sama suaminya, Mohd Ashraf Rosli, bersama dengan tiga anaknya, Muhammad Adam Mikhael, 6, Muhammad Anas Mikhael, 3, dan Muhammad Adel Mikhael, 1 bulan, menunggu di dalam kereta. 


Sebelum kejadian, mangsa yang juga bertugas di hospital yang sama (Bahagian Teknologi Maklumat), ada memaklumkan kepada isteri yang dia mengalami sakit di bahagian dada. Perkara itu membuatkan Nurul berasa tidak sedap hati. 


Sehinggalah jam 3.45 petang, Nurul menghubungi suaminya setelah mesej di aplikasi WhatsApp tidak dijawab dan terkejut apabila panggilan itu dijawab oleh anak sulung yang memaklumkan mangsa tidak sedarkan diri. 


Difahamkan, Nurul terus pergi mencari kereta suaminya di kawasan parkir kakitangan hospital tetapi tidak ditemui. Mujur ada seorang wanita warganegara Jepun yang ternampak anak pasangan itu menangis di dalam kereta lalu segera meminta bantuan pengawal keselamatan. 


Tidak beberapa lama kemudian, ambulans tiba dan segera membawa mangsa ke bahagian kecemasan untuk diberikan bantuan, tetapi mangsa tidak menunjukkan sebarang respon. Mangsa kemudian dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan telah meninggal dunia. 


Menurut laporan, mangsa telah dikebumikan di Bercham, Ipoh semalam. Punca kematian mangsa adalah disebabkan terdapat masalah pada jantung. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2020/12/rasa-tak-sedap-hati-suami-meninggal.html
Previous
Next Post »