5 suspek ambil masa 40 minit untuk pecahkan mesin atm & larikan RM260,000


Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah kedai 24 jam berhawa dingin di Taman Meru Indah, Klang, berjaya dilarikan oleh lima penjenayah, pagi tadi. 


Dalam kejadian yang berlaku pada jam 5.15 pagi Isnin, 14 Disember 2020, lima suspek yang memakai topeng itu mengambil masa hampir 40 minit untuk memecahkan mesin tersebut dan melarikan wang berjumlah RM260,000.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.20 pagi dan semakan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, suspek menggunakan gas oxy untuk memecahkan mesin tersebut. 


"Suspek telah bertindak menyembur cat hitam ke arah CCTV bagi mengelakkan perbuatan mereka dirakam. Mereka disyaki mengambil masa 30 hingga 40 minit untuk memecahkan mesin itu," katanya. 


Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Kosmo Online




source https://www.thereporter.my/2020/12/5-suspek-ambil-masa-40-minit-untuk.html
Previous
Next Post »