'Dia memang suka jalin hubungan dengan isteri orang' - Pasangan ditahan, kantoi oyeh² ketika orang lain sedang solat Jumaat


Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan berkhalwat dengan isteri orang berusia 41 tahun di Taman Selasih, Kulim, pada Jumaat, 25 Disember 2020. 


Ibu kepada tiga anak itu yang berasal dari Pendang itu ditemui bersembunyi dalam almari ketika rumah tersebut diserbu oleh anggota Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) bersama jemaah masjid di kawasan itu. 


Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, pihaknya mendapat banyak aduan mengenai perbuatan lelaki itu yang selalu memuat naik status di media sosial setiap kali menjalinkan hubungan dengan isteri orang. 


Berdasarkan keterangan wanita itu, dia mengenali jurujual terbabit di sebuah pasar raya di Kulim, melalui Facebook. 


"Kami menerima banyak aduan berhubung perbuatan lelaki itu yang sering memuat naik status di media sosial setiap kali menjalinkan hubungan dengan isteri orang. 


"Dia memang suka berhubungan dengan isteri orang dan kita menerima aduan awam mengenai kegiatan lelaki itu sebelum menahannya," katanya. 


Lelaki terbabit yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan dikatakan kerap membawa wanita masuk ke rumahnya ketika orang lain sedang sibuk menunaikan sembahyang Jumaat dan selalu terlepas. 


Kedua-duanya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan. 


Mereka dibebaskan dengan jaminan dan kes disiasat di bawah Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang memperuntukkan denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2020/12/dia-memang-suka-jalin-hubungan-dengan.html
Previous
Next Post »