Guru tadika curi bedak muka bernilai RM60.70 dipenjara 10 hari, denda RM1,500


Akibat mencuri satu bedak padat muka di kedai produk kesihatan dan kecantikan pada Jumaat lepas, seorang guru tadika dipenjara 10 hari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.


Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim memerintahkan S. K. Yoges, 37, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 27 Nov lepas, selain turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat minggu lagi, sekiranya dia gagal membayar denda.


Yoges mengaku bersalah mencuri satu bedak padat muka jenama Revlon bernilai RM60.70 milik Watson’s Personal Care Stores Sdn Bhd di sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang di sini, pada 8.35 malam, 27 Nov. 


Pertuduhan ke atas wanita itu dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian hendaklah dipenjara dan boleh dikenakan denda dan sebat.


Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohamad Farid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, namun Yoges yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung keluarga.


Sumber: Bernama



source https://www.thereporter.my/2020/12/guru-tadika-curi-bedak-muka-bernilai.html
Previous
Next Post »