Utamakan keselamatan rakyat, Selangor, Pulau Pinang & Negeri Sembilan hanya akan bubarkan DUN pada 2023



Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, menegaskan tiga negeri di bawah kepimpinan mereka iaitu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, biarpun Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat. 


Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang mengambil kira kesusahan rakyat dijangka berdepan dengan bencana banjir pada November dan Disember ini. 


Majlis Presiden PH berpendirian, tiga negeri terbabit hanya akan membubarkan DUN masing-masing pada tahun hadapan. 


"Majlis Presiden PH mengambil maklum laporan Jabatan Meterologi yang mengatakan fenomena La Nina dan Monsun Timur Laut berlaku sehingga awal tahun depan bakal menyaksikan jumlah taburan hujan yang tinggi serta kemungkinan berlaku hujan lebat dan banjir di kebanyakan negeri. 


"Majlis Presiden turut mengambil maklum bahawa Kerajaan-Kerajaan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah mempertingkat tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi musim banjir di negeri masing-masing sesuai dengan prinsip mengutama nasib rakyat berkait nyawa dan harta benda.


"Oleh itu, Majlis Presiden menerima pendirian Menteri-Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa Dewan-Dewan Undangan bagi negeri-negeri tersebut akan dibubarkan pada tahun 2023, pada satu tarikh yang akan diumum kelak," kata Anwar.


Sumber: Astro Awani



source https://www.thereporter.my/2022/10/utamakan-keselamatan-rakyat-selangor.html
Previous
Next Post »