Kakak direman selama 6 hari, tiada ahli keluarga hadir ke mahkamah kerana trauma



Remaja perempuan berusia 18 tahun yang dilaporkan membaling pisau sehingga tertusuk dan menjadi punca kematian adik lelakinya berusia 16 tahun semalam, direman selama enam hari. 


Polis berjaya mendapatkan perintah reman itu yang dikeluarkan oleh Majistret Normadiana Mamat di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi. 


Sebelum itu, suspek yang belajar di sebuah sekolah di Gelang Patah, hadir ke mahkamah pada jam 9.25 pagi dengan wajahnya yang sugul, tanpa ditemani oleh ahli keluarganya. 


Lapor Harian Metro, keluarganya ketika itu sedang sibuk menguruskan jenazah mangsa di rumah mayat di Hospital Sultanah Amirah (HSA). 


DUA BERADIK YANG RAPAT, TAAT PADA AGAMA


Media semalam melaporkan suspek berebut tempat duduk dalam kereta dengan mangsa selepas pulang dari sekolah. Keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila dua beradik itu bergaduh sebaik saja sampai di rumah di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh.


Suspek yang dipersenda oleh adiknya, tidak dapat mengawal diri bertindak mengambil pisau dan membaling ke arah mangsa. Balingan itu menyebabkan pisau itu tertusuk pada mangsa yang menjadi punca kematiannya. 


Menurut ahli keluarga terdekat berkata, dua beradik itu sangat rapat, saling sayang menyayangi dan taat pada agama. Kejadian yang berlaku itu sangat mengejutkan keluarga. 


"Kedua-dua beradik itu dididik dengan penuh kasih sayang dan ketakwaan dengan keluarga mereka amat rapat dan saling menyayangi. Mereka adalah anak yang baik dan sangat bijak kerana sering mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, selain menjadi harapan keluarga. 


"Mangsa yang berusia 16  tahun adalah bekas pelajar Maahad Pontian sebelum berpindah ke sebuah sekolah menengah di Gelang Patah. Manakala kakaknya belajar di Tingkatan Enam sekolah yang sama. 


"Mereka berdua serta tiga lagi adik, adalah anak yang sangat baik. Mereka juga dididik untuk tidak meninggalkan solat dan taat pada perintah agama," katanya.


Tambahnya lagi, sejak kejadian itu ibu bapa mangsa trauma dan tertekan sehingga tidak keluar rumah. 


BERI RUANG UNTUK SIASATAN, TUNGGU KEPUTUSAN MAHKAMAH - POLIS


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berikutan kes itu menerima pelbagai reaksi orang awam. 


Polis juga menasihatkan orang ramai menunggu keputusan mahkamah. 


Semalam, turut tular di media sosial yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki mendakwa menyaksikan kejadian itu ketika mahu ke sekolah agama. 


Saksi kanak-kanak itu berkata, dia melihat kakak pertamanya dan 'Haikal' bergaduh, selain mendakwa 'Haikal' yang mengalami kecederaan melarikan diri dalam keadaan badannya berlumuran darah serta tidak dapat diselamatkan. 


Bagaimanapun, dakwaan itu tidak dapat dipastikan sama ada sahih atau sebaliknya kerana tiada sebarang pengesahan dari pihak polis dan keluarga mangsa. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/10/kakak-direman-selama-6-hari-tiada-ahli.html
Previous
Next Post »